7 Khasiat Telur Rebus Untuk Diet & Berapa Biji Boleh Dimakan Setiap Hari

 

Memang banyak khasiat telur rebus dan di Malaysia, telur merupakan makanan kegemaran ramai yang enak dan mudah didapati.

Ia boleh dikatakan sebagai pelengkap kepada nasi lemak, laksa, bihun sup, mee rebus dan sebagainya.

Tapi mungkin ramai yang tertanya-tanya, berapa biji telur yang boleh dimakan setiap hari?

Adakah merbahaya jika terlebih makan telur?

Jom kita ketahui lebih lanjut tentang khasiat telur rebus, kelebihannya berbanding telur goreng dan berapa had maksimum yang boleh dimakan setiap hari.

KANDUNGAN NUTRIEN DALAM TELUR REBUS

Walaupun banyak nutrien yang didapati pada telur, ia merupakan makanan yang rendah kalori.

Telur rebus hanya mempunyai 77 kalori, 5 gram lemak dan karbohidrat dalam jumlah yang sangat kecil.

Ia juga merupakan sumber protein tanpa lemak yang sangat baik, sekitar 6 gram untuk sebiji telur.

Telur mengandungi pelbagai asid amino dan ini bermakna ia adalah sumber protein lengkap. Telur rebus turut menawarkan pelbagai nutrien penting, termasuk vitamin D, zink, kalsium dan semua vitamin B.

Ia adalah sumber riboflavin (vitamin B2) dan vitamin B12 yang sangat baik. Sebilangan besar nutrien telur terdapat secara eksklusif di kuning telur, sedangkan putih telur merupakan sumber protein.

Berikut disenaraikan khasiat telur rebus yang patut kita tahu.

KHASIAT TELUR REBUS DALAM DIET SEHARIAN

1. SUMBER PROTEIN BERKUALITI TINGGI

Protein sangat penting untuk kesihatan kita, termasuklah untuk membina otot dan tulang dan menghasilkan hormon dan enzim.

Telur menyediakan kira-kira 6 gram protein berkualiti tinggi. Sebenarnya, telur adalah salah satu sumber protein terbaik yang boleh di makan.

Ini disebabkan sifat proteinnya yang lengkap – telur mengandungi kesemua sembilan asid amino penting.

Jadi tak hairanlah mengapa pengamal diet mengambil telur rebus sebagai sajian protein utama mereka.

2. REBUS VS GORENG

Telur rebus adalah pilihan yang terbaik untuk  diet kerana cara penyediaannya yang dimasak tanpa mentega atau minyak tambahan.

Sebaliknya, telur goreng memerlukan mentega atau minyak tambahan, yang menyumbang kalori dan lemak tambahan.

Sebagai contoh, satu telur rebus besar mempunyai 77 kalori dan 5.3 gram lemak, berbanding 90 kalori dan 7 gram lemak dalam satu telur goreng.

3. TIDAK MENINGKATKAN RISIKO PENYAKIT JANTUNG

Selama bertahun-tahun, telur mendapat reputasi kurang menyenangkan kerana kandungan kolesterolnya yang tinggi.

Secara faktanya, sebiji telur mengandungi sekitar 212 mg kolesterol.

Walau bagaimanapun, penyelidikan baru-baru ini menunjukkan bahawa kolesterol makanan mempunyai pengaruh yang sangat kecil terhadap kolesterol darah dan tidak meningkatkan risiko penyakit jantung.

Sebaliknya, pengambilan telur boleh meningkatkan kolesterol ‘baik’ iaitu HDL.

4. MENGURANGKAN RISIKO KECACATAN TIUB SARAF PADA JANIN

Kolin adalah nutrien penting untuk banyak proses kritikal dalam badan kita, di mana ia dapat mendorong perkembangan otak janin dan ingatan, serta fungsi kognitif pada orang dewasa yang lebih tua.

Tubuh kita boleh menghasilkan sejumlah kolin dengan sendirinya, tetapi tidak dalam jumlah yang banyak.

Kolin sangat penting untuk mengekalkan sistem saraf yang sihat, kerana ia membantu menghasilkan asetilkolin, neurotransmitter yang terlibat dalam memori dan pembelajaran.

Kolin juga penting bagi wanita hamil, kerana tahap kolin yang mencukupi dapat mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf pada janin.

5. BAIK UNTUK KESIHATAN MATA

Lutein dan zeaxanthin adalah dua antioksidan yang terkenal dengan peranannya dalam kesihatan mata.

Kedua-dua komponen ini memerangi radikal bebas yang disebabkan oleh oksigen yang boleh terkumpul di mata.

Menurut Healthline.com, lutein dan zeaxanthin terbukti memperlambat pembentukan katarak dan melindungi daripada degenerasi makula (macular) yang berkaitan dengan usia.

Kerana sifat lemak kuning telur, badan kita boleh menyerap lutein dan zeaxanthin dengan baik.

6. MENGENYANGKAN & DAPAT MEMBANTU MENURUNKAN BERAT BADAN

Telur sangat mengenyangkan dan membantu anda menurunkan berat badan kerana ia tergolong antara makanan berprotein tinggi.

Telur mendapat markah yang tinggi pada skala yang disebut ‘indeks kenyang’, yang mengukur kemampuan makanan untuk menyebabkan perasaan kenyang dan mengurangkan pengambilan kalori.

Dalam satu kajian yang melibatkan 30 wanita yang berlebihan berat badan, makan telur untuk sarapan pagi meningkatkan perasaan kenyang dan membuat mereka secara automatik makan lebih sedikit kalori untuk 36 jam berikutnya.

7. BERAPA BIJI TELUR BOLEH DIMAKAN SETIAP HARI?

Ada orang yang mengamalkan diet telur rebus dan mengambil hingga 4-6 biji telur sehari.

Ada juga kanak-kanak yang sangat suka telur dan makan telur rebus dengan banyak setiap hari.

Jadi, berapa banyak sebenarnya telur yang boleh dimakan setiap hari?

Menurut Dr Joseph Tan menerusi Hello Doktor, memakan sebiji telur dalam sehari merupakan salah satu daripada pelan pemakanan yang sihat kerana ia tidak memberikan kesan yang signifikan terhadap peningkatan risiko penyakit jantung bagi mereka yang dikategorikan sebagai individu sihat.

Menurut Dr Abd Rahim Nor, makan 2-3 telur sehari adalah selamat untk orang ramai yang sihat tanpa penyakit.

Tapi bagi yang ada sakit jantung, kolesterol dan diabetes, ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung koronori. Jadi, JANGAN makan lebih daripada 1 biji telur sehari.

Kata kuncinya adalah bersederhana.

sumber;sirap limau