Al- Quran terselamat dalam kebakaran empat buah rumah

MELAKA – Seorang ibu tunggal tidak menyangka dua naskhah al-Quran yang dibelikan arwah anaknya tidak sedikit pun ‘dijamah’ api dalam kebakaran petang tadi yang mengakibatkan rumah jirannya hangus sepenuhnya manakala kediamannya 75 peratus terbakar.

Habibah Md Sab, 63, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dia sedang menunggu waktu untuk solat Asar di bahagian dapur rumahnya di Taman Seri Kenanga 3, Klebang Besar di sini.

Menurutnya, dia dikejutkan dengan bau hangit sebelum melihat kepulan asap memenuhi ruang rumah dan segera mencapai getah paip air untuk memadam api yang marak.

“Pada masa sama, saya terlihat seorang budak sedang berada dekat dengan tilam terbuang yang sedang terbakar dan memintanya segera masuk ke dalam rumah.

“Bila api sudah semakin marak dan tidak dapat dikawal, saya menjerit meminta tolong dan pada masa sama jiran menolong saya menarik keluar tong gas di dapur kerana takut ia meletup.

“Benda lain semua saya tak ingat termasuk dua motosikal anak lelaki yang tiada di rumah ketika kejadian turut musnah dijilat api,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Tambahnya, dua naskhah al-Quran yang dihadiahkan arwah anaknya ketika itu diletakkan berhampiran tingkap di ruang tamu rumah yang turut terbakar.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila selepas pihak bomba memadamkan kebakaran, mereka memaklumkan terdapat dua naskhah al-Quran yang tidak terbakar langsung.

“Inilah tanda kebesaran Allah dan saya bersyukur kerana terselamat. Cuma sekarang ini saya runsing memikirkan tempat berteduh dan berharap ada pihak yang sudi membantu untuk menyediakan tempat tinggal sementara buat kami dua beranak,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Fazzil Mohammad Yusof berkata, tiga jentera bomba dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dan Tangga Batu dikejarkan ke tempat kejadian sebalik menerima panggilan kecemasan.

Setibanya di tempat kejadian katanya, didapati kebakaran melibatkan empat buah rumah sederet separuh kekal dengan tiga buah daripadanya hangus 100 peratus.

“Semua lima mangsa dalam kejadian ini bagaimanapun terselamat dengan hanya dua rumah dihuni manakala dua lagi rumah kosong,” katanya sambil menambah punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

sumber; MalaysiaGazette