BUNYI gigi bergeser atau berlaga ketika tidur berlaku kepada individu pelbagai peringkat usia. Golongan kanak-kanak adalah antara yang turut mengalaminya terutama semasa tidur malam.
Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tersilap menyangka perbuatan itu adalah petanda mistik atau masalah perkembangan hingga timbul kekhuatiran. Public Health Malaysia merungkai penyebab sebenar perbuatan menggeserkan gigi oleh kecil sekali gus menghapuskan mitos yang dikaitkan.
“Jangan terlalu mudah ‘menghukum’ anak sebagai bermasalah hanya kerana mereka memiliki tabiat menggeserkan gigi semasa tidur.
“Kajian membuktikan, tabiat itu tiada kaitan dengan tingkah laku negatif dan ia sangat ‘common’ dalam kalangan kanak kanak.
“ Sebanyak 17 hingga 20 peratus kanak kanak pernah mengalami situasi ini dan ia akan hilang sendiri apabila mereka meningkat dewasa,” katanya.
Ia menyarankan ibu bapa agar mendapatkan pemeriksaan lanjut jika perbuatan itu mengganggu tidur atau menyebabkan kanak kanak kepenatan pada keesokan hari, mengakibatkan kesakitan, wujud trauma atau pendarahan dan mengakibatkan gigi menjadi sensitif (terhadap air sejuk atau panas).
Jelasnya, perbuatan menggeserkan gigi pada kanak-kanak adalah disebabkan oleh tiga keadaan iaitu;
-Stres
-Masalah gigi tidak tersusun
-Posisi tidur tidak sesuai / betul
-Perubahan hormon
Diharapkan perkongsian ini dapat memberikan panduan buat ibu bapa mengenai keadaan ini dan petanda-petanda yang perlu dilihat pada anak bagi mendapatkan rawatan.
Sumber: Public Health Malaysia