APABILA ramai ulama sahabat dan penghafaz al-Quran yang gugur syahid, maka wujud kebimbangan terhadap kesinambungan al-Quran dan ilmunya.
Keadaan itu menyedarkan para pemimpin dalam kalangan sahabat RA betapa perlunya al-Quran itu dipelihara secara tulisan.
Sebelum itu, al-Quran disimpan secara hafazan dalam diri Rasulullah SAW sendiri dan beberapa orang sahabat yang lain.
Rasulullah SAW telah menugaskan beberapa orang sahabat sebagai penulis al-Quran setelah ia diwahyukan. Lalu mereka menulis pada pelbagai alatan seperti belulang, tulang, pelepah tamar dan sebagainya.
Namun, para sahabat RA masing-masing tidak menyimpan senaskhah al-Quran dalam satu tempat selengkapnya.
Apabila seramai 70 orang sahabat yang menghafaz al-Quran gugur syahid, khususnya dalam Peperangan al-Yamamah ketika menentang Musailamah al-Kazzab, maka Khalifah Abu Bakar RA telah mengambil keputusan untuk mengumpulkan al-Quran secara bertulis.
Keputusan yang dipilih oleh Abu Bakar RA itu mendapat sokongan daripada seluruh sahabat, sekalipun tidak ada mana-mana perintah yang jelas secara nas daripada al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW.
Kemudian, tugas mengumpulkan al-Quran secara lebih terperinci dibentuk pada zaman Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA. Akhirnya, ia terpelihara sehingga hari ini dan akan berkekalan hingga akhir zaman.
Berhubung dengan usaha mengumpulkan al-Quran, ‘Ali bin Abi Talib KWH menegaskan:
يَرْحَمُ اللَّهُ أَبَا بَكْرٍ هُوَ أَوَّلُ مَنْ جَمْعُ الْقُرْآنَ بَيْنَ اللُّوَحَيْنِ.
“Allah memberikan rahmat kepada Abu Bakar, dialah orang yang pertama menghimpunkan al-Quran berada pada dua belah papan (tempat al-Quran ditulis).” `