Bayi Pun Ada Potensi Nak Dapat Penyakit Tetanus, Ibubapa Mesti Peka Tentang Tanda Awal Pada Bayi

Ibu bapa mesti ingin yang terbaik untuk anak-anaknya tidak kira dari pelbagai segi terutamanya kesihatan anak mereka. Majoriti ibu bapa pasti pernah mendengar mengenai penyakit tetanus. Tetapi tahukah ibu bapa apa itu penyakit tetanus?

Tetanus adalah penyakit yang sangat mengerikan. Ia disebabkan oleh jangkitan bakteria Clostridium Tetani. Bakteria ini sering terdapat dari tanah, objek asing dan tisu mati pada luka. Jangkitan bakteria akan melepaskan toksin yang kemudian dibawa oleh saraf ke saraf tunjang (spinal cord) dan batang otak (brain stem).

Toksin ini menghalang saraf dari menghantar isyarat otot untuk mengendur. Lalu otot yang yang terlibat akan berada dalam keadaan kontraksi (menegang) secara berpanjangan.

Hendak tahu rasa kesakitannya? Bagi anda yang pernah mengalami kejang otot atau simpul biawak; bayangkan kekejangan itu terjadi serentak pada seluruh badan bermula dari muka, leher, dada, perut dan seluruh tangan dan kaki. Dan ia berterusan selama berjam-jam. Berulang-ulang hingga beberapa minggu. Sekarang bayangkan pula kejang otot itu berlaku terlalu kuat sehingga menyebabkan anda tak mampu bernafas dan patah tulang.

Rawatan tetanus bukan mudah. Saat bakteria dah lepaskan toksin, antibiotik pun dah terlambat. Antibiotik hanya berkesan untuk bakteria yang masih hidup. Pemberian antitoksin pula hanya berkesan pada toksin yang bebas dan belum melekat pada saraf.

Jadi rawatan sebenar adalah supportif iaitu menyokong organ yang terlibat (paru-paru, jantung, otot, usus) seperti mesin bantuan pernafasan, ubat sedatif, ubat saraf, pemakanan enteral dan menghalang jangkitan bakteria sekunder. Kadar kematian jika tidak mendapat rawatan adalah 100%.

Tetanus hanya sembuh apabila terminal saraf baru tumbuh menggantikan saraf yang telah diserang toksin. Ini hanya terjadi selepas beberapa bulan.

Nak halang tetanus sangat mudah sebenarnya. Ambil saja imunisasi bagi kanak-kanak dan booster bagi dewasa setiap 10 tahun terutama mereka yang berisiko.

*Ibu bapa hendaklah prihatin terhadap perkara ini kerana ianya bukan perkara yang kecil. Diharapkan perkongsian ini dapat membantu ibu bapa supaya menjaga kesihatan anak dengan lebih baik.