Belajar dan ajar al-Quran, individu terbaik di sisi Rasulullah SAW

UMAT Islam disarankan untuk mempelajari al-Quran dan mengajarkan ilmu kitab suci itu kepada orang lain sekiranya ingin menjadi individu yang terbaik di sisi Rasulullah SAW, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, perkara itu seperti disebutkan Baginda SAW dalam salah satu sabdanya yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya (kepada orang lain) – Hadis riwayat al-Tirmizi, “ katanya menerusi aplikasi Telegram.

Ahmad Sanusi berkata, seorang Tabi’i dikenali Abu Abdul Rahman al-Sullami adalah individu yang benar-benar mengamalkan hadis yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW.

Katanya, beliau menjadi guru al-Quran sejak dari zaman pemerintahan Saidina Uthman RA sehingga zaman al-Hajjaj ibn Yusuf al-Thaqafi.

“Dan beliau menegaskan: “Dan hadis inilah yang menyebabkan aku duduk di tempatku ini (selama ini),” katanya.

Tambahnya, Saidina Abu Musa al-Asy’ari juga konsisten mengajar al-Quran meskipun beliau dilantik menjadi Gabenor Basrah.

Ahmad Sanusi berkata, perkara itu direkodkan oleh Ibn Sa’ad yang menyebutkan bahawa Abu Musa mengirim wakilnya untuk menghantar laporan kepada Saidina Umar yang menjadi khalifah ketika itu.

“Lalu Umar bertanya kepada wakil datang bertemu dengannya itu:

“Bagaimana engkau meninggalkan Abu Musa al-Asy’ari ketika engkau bertolak tadi)?

“Wakil itu menjawab: Aku tinggalkan beliau dalam keadaan beliau mengajarkan al-Quran kepada manusia. (Ibn Sa’ad),” katanya.

Justeru, Ahmad Sanusi menasihatkan kepada umat Islam supaya mempelajari dan mengajar al-Quran kepada orang lain.

“Paling kurang, ajarkan kepada anak-anak kita membaca al-Quran. Kita akan menjadi mulia dengan mengajar al-Quran dan mengamalkannya.

“Semoga ALLAH membimbing kita,” katanya.

sumber;majoriti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *