Beragama Kristian, Merrywati Manuil pilih bertudung ketika bersilat

PETALING JAYA – Pesilat wanita negara, Merrywati Manuil mendedahkan beliau selesa bertudung ketika menyertai pertandingan silat meskipun beragama Kristian.

Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya hari ini, Merrywati menjelaskan beliau sangat menghormati warisan Melayu serta mengagumi seni silat.

“Banyak bertanya kenapa saya pakai tudung walaupun saya Kristian. Silat adalah warisan orang Melayu. Saya sangat menghormati dan mencintai silat.

“Walaupun tidak diwajibkan untuk memakai tudung. Saya memilih untuk memakai tudung ketika pertandingan,” tulisnya.

Jelasnya, tudung juga membuatkan dirinya kelihatan lebih sopan, kemas dan beradab ketika pertandingan.

Tambahnya, pemakaian tudung ketika pertandingan bukan satu paksaan daripada mana-mana pihak.

“Saya belajar ilmu orang Melayu, sudah tentu saya mengikuti dan melakukan apa yang saya pelajari.

“Semoga persoalan memakai tudung ini terjawab,” jelasnya.

Terdahulu, baru-baru ini pesilat wanita negara dari Sabah itu tular di media sosial dengan kelincahan aksinya dalam Silat Tari Sembah ketika Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

sumber;KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *