Bermula Dengan Ikut Kawan, Pemuda Ini Tular Sebagai Penggali Kubur. Gali Tanah Untuk ‘rumah’ Terakhir Sebagai Ganjaran Pahala

 

Menguruskan
destinasi terakhir untuk jasad manusia di muka bumi ini bukanlah satu pekerjaan
yang digemari oleh golongan orang muda. Tidak ramai belia yang berminat untuk
melakukan kerja ini walaupun ia sebahagian daripada fardu kifayah.

Namun berbeza bagi
pemuda bernama Muhammad Harith Saring, 27, yang mendedikasikan hidupnya untuk
liang lahad sejak hampir sedekad yang lalu. Beliau yang mesra dipanggil Ayep
memberitahu, kerja menggali kubur dilakukannya sebagai salah satu kerja amal
sejak berusia belasan tahun.


Pada mulanya, dia
hanya sekadar mengikut kawan dan bapa saudaranya yang sering menggali kubur
apabila berlaku kematian.

 “Mula-mula dulu saya hanya ikut kawan-kawan
sahaja. Daripada situ saya mula belajar bagaimana menggali kubur. Sejak itu, ia
jadi kerja amal yang akan saya lakukan setiap kali ada masa terluang,” ujarnya
yang membantu menguruskan tanah perkuburan di Kampung Sungai Ramal Dalam dan
Kampung Sungai Ramal Luar di Kajang, Selangor.

Menurut pemuda yang
bertugas sebagai seorang pegawai tadbir ini, kerja menggali kubur dilakukannya
dengan kawan-kawan secara sukarela tanpa menerima ganjaran atau bayaran. Cuma,
pihak masjid ada memberikan mereka saguhati setiap kali selesai menyediakan
liang lahad apabila berlaku kematian.

“Awal-awal dulu,
takut juga. Ada kawan saya yang penakut dan ada juga yang berani. Tapi kami nak
cuba perkara baru, dan ini pun ganjaran pahala juga. Jadi kami teruskan. Lama
kelamaan, kami dah biasa.

 “Orang mungkin fikir takut, tapi saya rasa
lain. Bila berada dalam liang lahad, ia memberi kesedaran dan keinsafan buat
saya rasa ingin bertaubat. Ia juga mengingatkan saya supaya tidak melakukan
perkara tidak elok semasa hidup kerana kelak di penghujungnya, inilah ‘rumah’
terakhir kita,” ujarnya.

Sepanjang menjadi
penggali kubur, Ayep juga pernah terlibat menguruskan jenazah mangsa Covid-19
semasa era pandemik sebelum ini. Antara yang diingatinya ialah menggali kubur
untuk jenazah ibu dan anak yang meninggal dunia kerana Covid-19 dan dikebumikan
dalam satu liang lahad.

“Semasa era
pandemik, banyak yang membuat saya sebak. Antaranya bila menggali liang lahad
untuk kanak-kanak yang masih kecil dan meninggal dunia seorang diri tanpa ahli
keluarga di sisi yang tidak dibenarkan dekat kerana Covid-19. Ada juga jenazah
yang sudah reput. Itu semua antara yang membuatkan hati saya sedih bila
melihatnya,” cerita Ayep.

Gelagat Ayep yang
melakukan tugas menggali kubur mula mendapat perhatian apabila dia berkongsi
videonya menerusi laman sosial Tik Tok tahun lalu.

“Kawan saya suruh
buat akaun TikTok. Tak sangka video gali kubur saya jadi viral. Banyak juga
komen positif yang saya terima dan ramai yang beri sokongan,” katanya.

Ada juga yang
bertanyakan pengalaman mistik dan aneh sepanjang dia menjadi penggali kubur.
Menurut Ayep, sepanjang dia menggali kubur, belum ada lagi kejadian pelik yang
dilaluinya.

“Alhamdulillah
tiada apa-apa yang aneh dan misteri berlaku sepanjang hampir 10 tahun saya jadi
penggali kubur. Yang penting, jangan ada perasaan takut. Tak ramai golongan
muda yang sanggup buat kerja begini, sedangkan ia juga satu ganjaran pahala dan
sentiasa membuat kita beringat tentang kematian.

 “Bukan hanya untuk jenazah orang lain, suatu
hari nanti jika ditakdirkan kedua orang tua saya dijemput Ilahi, saya juga mahu
berbakti untuk kali terakhir dengan menggali sendiri ‘rumah’ terakhir untuk
persemadian mereka,” katanya.

Sumber Utusan TV

Apa Pendapat Anda?
Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Pihak MyTeam Network tidak
bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini.
Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang
disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.