Bila Makan di Luar, Ingatlah Mereka yang di Rumah!

Subuh suatu hari minggu lepas, saya membawa karipap dan bancuhan nescafe gold creamy latte untuk berkenduri kecil dengan jemaah subuh di surau.

Pada subuh esoknya, imam surau bercerita kepada saya yang dia minum nescafe yang dihidangkan separuh cawan sahaja, lagi separuh dia bawa balik (rumahnya bersebelahan surau). Katanya “Nak bagi Mak Long rasa juga, sedap”. Saya terkedu mendengarnya.

Mari kita ambik iktibar dari peristiwa ini. Betapa dia begitu menyayangi isteri walau telah tua. Terasa apa yang dia makan diluar ingin juga dikongsi dengan isteri.

Bukan dia miskin kerana mereka suami isteri ada pencen, anak-anak kerja professional, tetapi ingatan kepada orang dirumah menyebabkan dia ingin berkongsi dengan mereka walau sekadar setengah cawan nescafe.

Bandingkanlah dengan diri kita bila kita makan diluar, ditempat kerja, majlis, di hotel dan sebagainya. Apakah ada ingatan kita kepada anak, isteri semasa menjamah makanan yang sedap dan menarik itu.

Jangan sesekali sekedar membawa sendawa balik ke rumah, membawa balik cerita kepada mereka yang dirumah. (Esoknya saya membawa beberapa paket nescafe gold creamy latte untuk imam surau, dia gelak besar menerimanya).

Saya perturunkan semula tulisan saya yang dulu yang menyerupai kisah ini juga tetapi makannya berlainan.

 

Terjumpa seorang tua yang tinggal sekampung dengan saya di pekan, katanya nak ke setesen bas untuk balik, saya ajak balik dengan saya. Dia setuju.

Mukanya berpeluh kerana berjalan dalam panas, datang ke pekan nak beli batu pengasah dan pisau menebas rumput.

“Kita singgah minum sikit” kata saya mempelawa. Dia tidak menolak mungkin kerana terasa haus. Saya singgah di satu kedai nasi kandar.

Saya order tosai masala dan teh o ais. Dia hanya order teh o ais.

Bila disuruh order makan, dia menolak tetapi saya rasa dia hanya terasa segan. Lalu saya tanya dia,”Pak ngah, kita cuba tose masala, sedaaap!”

Dia membalas,”Cikgu nak belanja saya, saya terima saja. Tekak orang susah macam saya ni mana boleh memilih.”

Saya senyum saja.

Kami makan sambil berbual. Katanya,”Sedap cikgu. Saya tak pernah makan, ingat ini orang India saja makan.”

Selesai makan dia bertanya,”Mahai ka tose ni, berapa duit sebiji.?”

Saya membalas,”3.50 sebiji.

“Dia kelihatan meraba poket baju telok belanganya, mengeluar uncang plastik kecil yang berlipat. Ada beberapa not seringgit dan duit siling.

Saya sangka dia nak bayar, cepat-cepat saya suruh dia simpan, kerana saya nak bayar.

Tetapi dia berkata,”Saya rasa bersalah, rasa mengkelan, kerana saya dapat makan yang sedap hari ni, tapi anak bini saya tidak. Kami selalu kongsi susah senang. Bila makan sedap begini, saya teringat kat depa, saya nak beli bawak balik untuk depa juga, supaya saya tak rasa bersalah, rasa penting diri. Beli sebiji pun jadilah, depa boleh kongsi lima orang. Kalau tak kenyang pun, dapat rasa jadilah.”

Ya Allah. Subhanallah! Saya tergamam, sebak mendengar kata-katanya. Betapa kuat ingatan kasihnya kepada anak isterinya. Betapa aku tidak pernah mempunyai ingatan sebegini bila makan diluar sendirian.J ernihnya jiwa insan ini, kemiskinan mendidik mereka berkongsi segalanya, baik yang susah maupun yang menyenangkan.

Saya order 3 biji tose masala untuk dia bawa balik. Senyumnya ketika turun dari kereta membayangkan kepuasan dan kegembiraannya. Allah menunjukkan kepada saya hari ini bagaimana bersihnya jiwa mereka yang serba kurang dalam hidup, berkongsi segalanya, sedang kita yang mewah, membina sikap individualistik. Makan pun dah jarang bersama, makan pun tak sama, apa lagi berkongsi susah senang.

Lihatlah betapa anak-anak mengabai ibubapa, apa yang mereka makan, apa masalah yang mereka hadapi. Ada juga ibubapa yang tak peduli masalah anak, asal beri duit dah cukup. Ada bapa yang ke majlis sana sini, hanya membawa perut yang kekenyangan balik kerumah. Ada yang hanya bawa balik sendawa berbau durian bila dijamu diluar sedang anak isteri tak pernah merasa.

Perkahwinan itu perkongsian yg berterusan hingga ke liang lahat. Berkongsi dengan isteri, anak bahkan cucu. Binalah ingatan bersama. Jika orang tua ini begitu terasa perlunya berkongsi walau hanya pada perkara makan, bermakna mereka berkongsi lebih jauh lagi dalam hal lain. Itulah yang membina keeratan ikatan kekeluargaan.

Ambillah iktibar. Jangan pentingkan diri. Rezeki yang diturunkan kepada kita sebenarnya ada didalamnya rezeki isteri, anak-anak, jangan dipolok sendiri.

Jangan kita saja sibuk bertukar baju baru, bini berpakaian lusuh, anak-anak berpakaian koyak, jangan kita saja bertukar handphone, smartphone, anak tak ada satu permainan pun, jangan kita saja bertukar kereta, anak berbasikal cabuk, isteri bergelumang didapur serba buruk.

Berfikirlah lebih lanjut. Jika ada yang terasa,memang saya nak bubuh serbuk perasa, kerana sendiri tak mau rasa.

Tulisan cikgu Abd Ghani Haron