PASIR PUTEH – Seorang lelaki tidak menyangka pokok cucur atap yang diambil di tepi pantai menjadi sumber pendapatan lumayan selepas digubah menjadi bonsai hingga menjadi rebutan ramai ketika ini.
Nik Azmi Nik Ismail, 52, berkata, pokok itu yang tumbuh meliar di kawasan pantai menjadi eksklusif kerana semakin sukar ditemui berbanding 10 tahun lalu.
Katanya, ia menjadi pokok harga ‘kayangan’ apabila mampu mencecah RM25,000 sebatang jika dikategorikan sebagai bonsai kelas pertama.
“Saya antara orang yang sering mencari pokok itu untuk digubah menjadi bonsai. Ramai yang mencari pokok yang berasal dari Australia itu tetapi tumbuh subur di kawasan pesisir pantai di daerah ini.
“Sekiranya jumpa, saya akan terus menggali pokok tersebut tidak kira sama ada kecil atau besar untuk menghasilkan gubahan bonsai. Lagi lama usia, lagi mahal harganya,” katanya ditemui di Penempatan Semula Nelayan Tok Bali di sini semalam.
Tambahnya, gubahan pokok itu kebiasaannya dijual pada harga RM100 hingga RM200, namun ia mampu menjangkau sehingga puluhan ribu mengikut keunikan gubahan dan usianya.
Menurut Nik Azmi, dia berpengalaman dalam penghasilan bonsai sejak 20 tahun lalu dengan memberi perkhidmatan membentuk, memangkas dan mengukir batang pokok mengikut piawaian bonsai Jepun kepada penggemar hiasan itu.
“Pokok cucur atap adalah pokok tempatan kelas pertama untuk penghasilan bonsai yang mampu menandingi spesis ‘dwarf wood’ seperti yang ada di negara Jepun dan China,” katanya.
Ujar Nik Azmi, pokok itu sebenarnya sesuai ditanam untuk dijadikan makanan kelulut dan lebah.
“Ia akan berbunga bermula bulan Februari hingga Ogos setiap tahun meskipun dipangkas atau dibelat besi dalam proses menghasilkan bonsai.
“Daun pokok cucur atap dikatakan berupaya merawat demam, antibakteria dan melancarkan peredaran haid. Ia juga digunakan bagi merawat selesema, sakit kepala, demam campak, uluran dan demam kuning dengan cara mengasapkan pesakit melalui pembakaran daun kering atau menghidu wap air rebusan daun segar,” katanya.
Menurut Nik Azmi, pokok cucur atap boleh mencapai ketinggian sehingga 6 meter dan memerlukan penjagaan rapi sekiranya dipindahkan dari tempat asal ke dalam pasu.
Tambahnya, batang dan akarnya diolah menjadi pokok kecil, manakala dahannya kini dijual mengikut keratan tertentu untuk penanaman pokok orkid secara gantung.
sumber ;K! ONLINE