Buah pisang bertukar hitam, daun kemerahan

POKOK SENA – Seramai 20 petani yang mengusahakan kira-kira 25 hektar tanaman pisang di Kampung Bukit Larek dan Kampung Apil buntu memikirkan tanaman mereka semakin rosak apabila diserang penyakit yang masih belum dapat dikenalpasti sejak Jun lalu.

Rata-rata mereka percaya penyakit tersebut dikenali Moko berdasarkan buah pisang yang menjadi hitam manakala daun pokok pisang bertukar menjadi warna kemerahan namun masih belum disahkan lagi.

Seorang petani, Mohd Ghani Abu Bakar, 51, dari Kampung Apil berkata, pada awalnya dia menyangka beberapa pokok pisang yang ditanamnya mula layu dan kering mungkin disebabkan oleh musim panas.

Walaubagaimanapun, sebaik sahaja dia menebang pokok-pokok tersebut dan membelah buah pisang mendapati, isinya kehitaman dan sudah rosak serta tidak dapat dijual lagi.

“Semakin hari saya dapati penyakit tersebut semakin merebak ke pokok-pokok pisang yang lain, jadi saya ambil keputusan untuk menebang pokok-pokok yang sudah dijangkiti penyakit tersebut bagi mengelak terus merebak.

“Saya juga ada mencuba pelbagai racun yang dibeli di kedai namun sehingga hari ini penyakit tersebut terus merebak dan kami buntu memikirkannya.

“Saya kerugian kira-kira hampir RM5,000 setakat ini selepas 3,000 pokok pisang jenis naka yang ditanam dan berbuah rosak diserang penyakit tersebut,” katanya ketika ditemui di kebun pisangnya di Kampung Apil pada Jumaat.

Seorang lagi petani, Mohd Sobri Abdullah, 55, juga dari Kampung Apil mengalami kerugian kira-kira RM6,000 selepas terpaksa menebang pokok pisangnya di kebun seluas dua hektar bagi mengelakkan penyakit tersebut terus merebak ke tanaman pokok pisang yang lain.

Menurutnya, selain pokok induk, dia juga mendapati, penyakit tersebut turut menjangkiti anak pokok pisang selepas terdapat bintik-bintik hitam di dalam batang anak-anak pokok berkenaan.

“Sedih juga bila mengenangkan masalah ini kerana ini adalah tanaman pertama saya, namun tidak sempat untuk merasai hasilnya selain dijadikan sebagai pusingan modal seterusnya.

“Kami berharap pihak berkenaan dapat turun padang membantu untuk mencari punca penyakit ini termasuk mengatasinya kerana buat masa sekarang tidak ada yang berani mengambil risiko untuk menanam pokok baharu kerana bimbang diserang penyakit ini,” katanya.

Sementara itu, itu, Pegawai Jabatan Pertanian Pokok Sena, Abd Fattah Roslan ketika dihubungi pemberita memberitahu, pihaknya akan turun untuk mendapatkan tisu pokok pisang yang dijangkiti bagi mengenalpasti penyakit yang sebenar.

“Jabatan Pertanian akan turun bersama dengan bahagian bio sekuriti tumbuhan untuk melihat dan mengambil tisu pokok yang dijangkiti bagi mengesahkan sama ada tanaman petani ini dijangkiti penyakit Moko atau Fusarium,” katanya.