Buka pondok sedekah sempena nama ibu bapa, ramai yang kagum dengan inisiatif terpuji wanita ini untuk membantu golongan memerlukan

Berbuat baik kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada golongan yang benar-benar memerlukan adalah amalan yang sangat terpuji dan wajar dijadikan teladan.

Seorang wanita muda dikenali Hasha @nurhashaidris baru-baru ini memuat naik dua keping gambar yang menarik perhatian ramai di Twitter.

Menerusi laman Twitter itu, @nurhashaidris berkongsi niat baik ibunya yang baru saja membuka sebuah pondok sedekah sempena nama datuk dan neneknya iaitu Pondok Sedekah Omar Zabedah.

Ibunya membuka pondok sedekah itu untuk membantu golongan yang memerlukan ketika zaman meleset di waktu pandemik ini.

“Ibu saya baru saja membuka pondok sedekah sempena penghormatan kepada ibu bapanya. Kepada sesiapa yang tinggal di sekitar Keramat atau Kampung Baru dan memerlukan barang keperluan asas, bolehlah singgah dan ambil,” kata Hasha menurut terjemahan.


Pondok sedekah itu terletak di hadapan Omar Ali Villa, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tujuan ia dibina adalah untuk membantu golongan memerlukan di luar sana yang sedang berada dalam kesusahan.

Semua sedia maklum, ramai yang kehilangan punca pendapatan sejak pandemik COVID-19 menular di negara ini dan seluruh dunia pada tahun lalu.

Tweet @nurhashaidris berjaya menarik perhatian netizen dan apa yang lebih menggembirakan semakin ramai yang tampil untuk membantu memberikan sedekah dalam bentuk wang ringgit kepada mereka yang memerlukan, dengan itu pihak mereka boleh menyalurkan bantuan secara lebih meluas.

Rata-rata netizen memuji dan kagum dengan usaha keluarga ini dalam membantu golongan susah dan sedang dalam kesempitan, yang benar-benar memerlukan.

 

Inisiatif terpuji yang menjadi inspirasi dan ramai turut menyimpan niat untuk membuat perkara yang sama, sambil mendoakan semoga seluruh ahli keluarga yang mengasaskan Pondok Sedekah Omar Zabedah sentiasa diberi keberkatan dan kemurahan rezeki.

sumber;sinar harian