Meriahnya tengok kebun diorang ni. Gemuk-gemuk sayur tu. Geram je tengok… Guna baja apa agaknya ye?”
Ramai antara kita yang suka berkebun. Sejuk je mata tengok pokok-pokok kat luar rumah kan.
Lagi best kalau tanaman yang ditanam menjadi dan boleh dimakan. Dahlah dapat yang fresh, sihat-sihat pula lagi tu.
Siapa sangka, tanaman Puan Nurul yang kita tengok gemuk-gemuk ni rupanya tak pakai baja atau bahan kimia pun. Sebaliknya, beliau hanya menggunakan bahan-bahan dapur yang mudah didapati.
Wah, memang menarik ni. Dahlah jimat, selamat dan bebas bahan kimia kan?
Jom baca perkongsian beliau di bawah ini.
5 CARA MENYUBURKAN TANAMAN GUNA SISA BAHAN DAPUR. MUDAH, JIMAT & BEBAS BAHAN KIMIA
Inilah hasil kebun 100% bebas baja. Saya gunakan bahan-bahan mudah hasil lebihan atau sisa di dapur saja. Saya pun sebenarnya budak baru belajar. Alhamdulillah dengan cara ni tanaman tetap subur tanpa perlu baja tambahan.
Di sini saya kongsikan cara menyuburkan tanaman yang saya amalkan.
1. AIR BASUHAN BERAS
Saya wajib siram hari-hari setiap pagi dan petang guna air beras. Saya tak guna air paip dah.
Kalau ada lebih boleh simpan. Tapi air beras yang disimpan untuk kegunaan seterusnya kena dicampur dengan air paip ya. Jangan guna air peram 100% sebab bila ia diperam air akan jadi masam.
Sambil siram pokok bolehlah sambil sembang-sembang dengan dia. Ini pun petua juga.
Cara menyuburkan tanaman
2. AIR PERAMAN KULIT BAWANG & SISA SAYUR DAN BUAH (BOKASHI TEA)
Campurkan semua kulit bawang, kulit telur, sisa-sisa sayur, air beras dan lain-lain. Selang-selikan dengan gula merah. Peramkan selama lebih kurang seminggu.
(Kalau tak ada gula merah guna gula biasa pun ok je).
Hasilnya kita boleh buat siram pokok guna air peraman (Bokashi Tea) ni seminggu sekali.
Cara nak guna, ambil Bokashi Tea dan campur air dengan nisbah 1:10 (bokashi tea : air paip)
*Kalau nak tahu baja yang dibuat menjadi, ia akan berbau masam-masam. Kalau berbau busuk maknanya air peraman tu tak menjadi ya.
3. KULIT TELUR
Satu lagi bahan dapur yang boleh digunakan ialah kulit telur.
Bila dah masak telur, kulitnya simpan. Jemurkan bagi betul- betul kering.
Kemudian hancurkan dan goreng kering dalam kuali sampai warna jadi perang atau kulit telur tu betul-betul garing. Jangan sampai hangit pulak ye.
Lepas tu sejukkan dan kisar sampai halus. Gunakan untuk tabur dekat pokok nanti.
4. KULIT BAWANG
Kulit bawang yang dah dikupas pun boleh simpan.
Gunakan untuk tabur dekat pangkal pokok.
5. SPRAY BAWANG PUTIH UNTUK ELAKKAN SERANGGA PEROSAK
Bawang putih pun banyak khasiatnya untuk bantu suburkan pokok.
Ia boleh digunakan untuk elakkan serangga perosak tanpa guna racun serangga kimia.
Caranya kisar bawang putih buat spray dekat pokok. Sukatan ikut suka asalkan bila kita sembur, bau bawang putih tu melekat dekat pokok.
Bawang putih jangan buang, rendam je dalam spray tu. Bila nak guna nanti boleh tambah air je.
Cara menyuburkan tanaman
CARA YANG SELAMAT, JIMAT & SIHAT POKOKNYA
Inilah cara yang saya gunakan untuk tanaman-tanaman saya. Dari mula-mula tanam guna bahan-bahan ni je dan tak pernah guna baja apa-apa yang lain.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Tak rugi kita berkebun tau. Seronok bila dapat tengok hasilnya.
Selamat mencuba.