Dapur Kaca Macam Bom Jangka, Ramai Yang Sudah Jadi Mangsa

MUJURLAH ibu duduk jauh dari dapur, jika tidak pasti sesuatu perkara tidak baik berlaku ke atasnya,� itu reaksi Siti Nur Azirah Mohd Fathir, 29, susulan dapur gas jenis kaca (tempered glass) meletup di rumahnya di Kampung Salang, Kangar, Perlis, kelmarin.

Kejadian berlaku ketika ibunya, Cempawan Abdullah, 65, sedang merebus ikan untuk diberi makan pada kucing sebelum ia meletup secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, ketika itu, Cempawan duduk dekat meja makan yang terletak kira-kira 10 meter sekali gus menyelamatkannya daripada terkena serpihan kaca.

Menceritakan kejadian itu, Siti Nur Azirah berkata, pada 7.30 pagi, ibunya bersiap untuk merebus ikan sebelum berehat dekat meja makan.

Katanya, ketika itu dia sedang menyusukan anak dalam bilik, manakala ibunya sibuk di dapur.

�Ibu memanggil saya kerana pelik melihat api menjadi kekuningan dan tidak lama kemudian, letupan berlaku dan kaca bertaburan.

�Saya dan ibu menggigil ketakutan dan segera menutup api. Pada ketika itu, api turut menyambar bateri yang digunakan untuk menghidupkan api.

�Kaca turut terpelanting ke arah ibu, namun bernasib baik kerana tidak mengenainya,� katanya ketika dihubungi.

Kejadian itu kemudian dikongsikan Siti Nur Azirah melalui hantaran yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.

Menerusi hantaran itu, dia memberitahu: �Allah… Nasib tak kena mak masa ni. Dapoq (dapur) meletup, selalu tengok dalam FB ja post pasai (pasal) dapoq kaca ni meletup.. hari ini jadi kat rumah sendiri… berkecai retak seribu. Lama dah pakai, ni bru nak jadi.. beware (hati-hati) lah rumah sapa (siapa) ada dapoq ni, memang cantik, tapi risiko dia macam ni lah.�

Ada juga netizen menceritakan perkara ini pernah berlaku dua kali di rumahnya dan memberitahu dapur seperti ini hanya sesuai untuk masak air atau masakan yang memerlukan tempoh singkat.

Menurutnya lagi, sebelum ini ahli keluarganya pernah memasak menggunakan dapur ini lebih dari tempoh berkenaan, namun tiada kejadian seperti ini berlaku.

�Saya mahu mengingatkan mereka yang ada dapur seperti ini supaya berhati-hati. Apa yang kami alami hari ini (semalam) amat menakutkan,� katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *