Dari kayu tiang rumah, jadi alat perah tebu

Daripada kayu tiang terpakai, sentuhan kreativiti seorang tukang rumah, Mohamad Fadhil Mazlan, 31, berjaya mengubah bentuk bahan itu kepada alat pemerah tebu.

Inisiatif anak kelahiran Parit Mat Ali, dekat Kuala Kurau, di sini, menarik perhatian ramai apabila rata-ratanya teruja melihat alat pemerah tebu tradisional itu, yang dianggap sudah lama dilupakan.

Bagi warga emas khususnya, ia ibarat menggamit kenangan lama kerana alat terbabit sememangya sudah tenggelam dek zaman, digantikan dengan mesin tebu yang digunakan hari ini.

Malah ramai penduduk mula menghantar tebu milik mereka untuk melihat alat dihasilkan Mohamad Fadhil itu berfungsi, sekali gus mendapatkan jus dengan sedikit upah dibayar kepada tukang rumah itu.

Mohamad Fadhil berkata, inisiatif timbul selepas melihat alat pemerah tebu tradisional di rumah seorang rakan yang sudah dimamah usia dan tidak lagi dapat digunakan.

“Asalnya saya melihat bongkah kayu itu sebagai kayu buruk, namun apabila melihat reka bentuknya saya mula bertanyakan tentang kayu itu kepada pemiliknya.

“Selepas diterangkan fungsi sebenarnya, baru saya tahu kayu itu sebenarnya alat pemerah tebu yang digunakan orang zaman dahulu yang dipercayai wujud sebelum zaman merdeka lagi.

“Selepas meneliti reka bentuknya, saya mula mencari ilham untuk mencipta alat itu. Biarpun sedikit berbeza berbanding alatan asal yang lebih panjang, ia dapat berfungsi dan hasilnya sama seperti menggunakan mesin pemerah tebu moden,” katanya ketika melakukan demonstrasi penggunaan alat itu di rumahnya di sini.

Dikendalikan dua orang

Mohamad Fadhil berkata, keunikan alat pemerah tebu tradisionl itu ialah perlu ditambat atau diikat pada tiang yang kukuh, dengan dikendalikan dua orang pada satu-satu masa.

“Seorang perlu mengendalikan kayu pemerah, manakala seorang lagi ditugaskan untuk meletakkan tebu yang siap diraut kulitnya pada tempat khas bagi mendapatkan jusnya.

“Sejurus kayu pemerah ditekan jus tebu itu akan mengalir melalui kayu utama yang siap diraut tajam dan jus terbabit akan mengalir terus ke dalam baldi yang diletakkan di bahagian bawah.

“Bagi orang dahulu kebiasaannya mereka sering meletakkan alat terbabit pada tiang di bahagian bawah rumah, namun alat ciptaan saya ini mampu diletakkan di mana-mana tiang atau pokok,” katanya.

Ditanya sama ada berhasrat menjual alat dihasilkannya itu, beliau mengakui alat itu sengaja dicipta untuk memudahkan keluarga bagi mendapatkan air tebu percuma, tanpa mengupah orang lain atau menggunakan mesin moden.

“Untuk penduduk kampung pula, saya tidak meletakkan harga atau upah bagi tebu yang dihantar, sebaliknya terserah kepada penduduk bagi memberikan bayaran ikhlas atas khidmat memerah tebu,” katanya.

Mohamad Fadhil berkata, rekaannya ini masih di peringkat permulaan dan akan diperkemaskan lagi dengan reka bentuk berbeza, namun masih mengekalkan fungsi asal.

sumber ; bh online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *