Datang pakai baju lusuh, tapak kasut nak tercabut… Wanita ini tak sanggup tengok, kisah di pondok sekolah buat ramai sebak

MELIHAT keadaan kanak-kanak ini berpakaian lusuh ke sekolah sudah cukup membuatkan hati berasa sayu.

Malah boleh menitis air mata tatkala memandang kanak-kanak perempuan berkenaan mengenakan sepasang kasut yang cukup uzur.

Kisah pertemuan seorang wanita dengan murid perempuan berkenaan diluahkan menerusi satu perkongsian di laman sosial.


Kanak-kanak itu tidak mampu membawa wang yang banyak ke sekolah.

Menurut wanita berkenaan, pada mulanya dia didatangi kanak-kanak itu dan meminta sedikit wang ketika sedang menunggu anak lelakinya di sekolah.

“Tengah tunggu Adam kat pondok sekolah tadi, ada seorang budak perempuan ni datang minta duit. Tak banyak pun dia minta, hanya untuk beli air je.

“Tak banyak cakap saya terus bagi,” tulis pengguna Facebook bernama Tie Ruzilawati tanpa memaklumkan jumlah wang yang diberikan kepada kanak-kanak itu.

Jelasnya, murid darjah tiga itu kembali mendekatinya selepas beberapa minit dan kali ini dia datang untuk memulangkan baki wang.

Memuji keperibadian murid itu, timbul tanda tanya kenapa wang baki dikembalikan dan jawapan yang diberikan kepada Tie Ruzilawati cukup menyentuh hati.

“Saya cakap kat dia kenapa pulangkan balik baki? Dia jawab ‘tak apa acik, saya nak seringgit je. Pagi tadi saya dah bawa duit belanja RM3’.

“Dalam hati aku berkata apa nak makan zaman sekarang dengan RM3 daripada pagi sampai petang. Mungkin setakat itu yang familinya mampu,” ujarnya.

Barangkali kehadirannya disenangi, kanak-kanak itu kemudian duduk di sebelahnya.

Dalam pertemuan singkat itu, Tie Ruzilawati menyifatkan kanak-kanak tersebut sebagai seorang yang petah berkata-kata dan pembawakan diri tidak padan dengan usianya.


“Saya tanya tunggu mak datang ambil ke? Dia cakap ‘tak, mak tak ada. Saya tinggal dengan wan (nenek) dan ayah pun kerja. Tengah malam baru ayah balik’,” katanya yang mengimbas kembali perbualannya bersama kanak-kanak itu.

Mempunyai naluri keibuan, jawapan anak yatim mengundang sebak Tie Ruzilawati.

“Ya Allah, sedihnya anak-anak membesar tanpa perhatian seorang ibu. Sambil dok sembang, sempat mata melilau pandang dia.

Walaupun pemberian ini tak seberapa, tapi begitu bermakna baginya.

“Sedih sangat tengok, dengan baju yang kotor dan lusuh. Kasut dua-dua belah nak tercabut tapak. Nak balik tadi cakap kat dia, ‘esok tunggu acik kat sini ya. Nanti acik bawakan kasut lain’.

“Terus dia peluk aku, tu yang tak tahan sambil dia tanya betul ke aku nak bagi dia kasut sekolah yang lain? Terkeluar air mata seorang ibu,” katanya menerusi posting di laman Facebook miliknya yang dikongsi lebih 2,000 kali.

Seorang murid diberikan kasut bagi menggantikan kasutnya yang uzur.

Menerusi perkongsian berasingan, kata Tie Ruzilawati, kanak-kanak itu datang menemuinya keesokan hari di lokasi sama di pondok sekolah seperti yang dijanjikan.

“Dari jauh lagi dah tengok dia tersenyum. Suka tengok senyuman ikhlas daripada budak sekecil itu. Walaupun pemberian ini tak seberapa, tapi begitu bermakna baginya.

“Apabila dapat memberi, jiwa rasa tenang sangat. Dalam rezeki kita ada rezeki dia. Semoga anak ini menjadi anak solehah berjaya dunia dan akhirat. Amin,” tulisnya di Facebook.

sumber ‘mstar