Ayah siapalah yang tak sayangkan anak kan? Dah namanya pun ‘ayah’, seorang lelaki yang sanggup berkorban apa saja demi isteri dan keluarganya walaupun terpaksa menempuh sakit pahit kehidupan.
Baru-baru ini, tular di media sosial tentang seorang ayah dari Indonesia yang teruja membelikan sebuah komputer riba untuk anak gadisnya. Kisah ini diceritakan menerusi satu video yang dimuat naik ke TikTok dan Twitter.
Si ayah tersebut yang menggunakan nama Babeh Ary pada awalnya berasa tersentuh hati melihat anak gadisnya, Nindy yang memerlukan alat peranti tersebut bagi urusan pelajarannya.
Menyedari hal itu, Babeh terus mencari mana-mana penjual yang menjual komputer riba terpakai (secondhand) dan kebetulan, dia terlihat iklan jualan komputer tersebut daripada rakannya sendiri.
Harga yang dijual rakannya berjumlah 2 juta rupiah (kira-kira RM581). Babeh bersetuju untuk membelinya, lantas dia membayar deposit dahulu sebanyak 1.7 juta rupiah (kira-kira RM494).
Manakala bayaran selebihnya akan dijelaskan pada minggu depan. Menyedari wangnya belum cukup, Babeh tekad untuk terus berusaha mencari rezeki sebagai penghantar bermotosikal e-hailing, Gojek.
Kali ini dia lebih bekerja-keras, bekerja mula dari awal pagi hingga ke malam. Adakalanya sampai terpaksa meredah cuaca hujan. Perjalanan sehariannya pernah mencapai sejauh 268 kilometer sehari.
Hasil penat lelah itu, Babeh berjaya mengumpulkan sebanyak 245,400 rupiah (kira-kira RM71), kebetulan wang itu juga diterima oleh pelanggannya dalam bentuk tunai.
Setelah semuanya mencukupi, Babeh pun terus ke lokasi rakannya untuk membeli komputer tersebut. Akhirnya misi pun tercapai. Babeh pulang semula ke rumah dan merancang untuk membuat kejutan pada Nindy.
Hinggalah tiba pada waktunya, Babeh menantikan kepulangan Nindy di pintu rumah. Setibanya Nindy di muka pintu, terus Babeh menunjukkan ‘hadiah tidak disangka’ tersebut.
Terkejut bukan kepalang, maka terjurailah riak kesyukuran si anak gadis itu setelah menerima pemberian ayahnya. Di penghujung video, kelihatan Nindy menggunakan komputer tiba tersebut untuk mencari kerja.
“Terima kasih ya ayah..” ujar Nindy manja. Jelas terpancar riak bangga di wajah Babeh selaku ayah setelah berjaya memenuhi keperluan anaknya sendiri. Mari ikuti videonya di bawah ini.
Rupanya-rupanya Babeh sebelum ini pernah berkelana di Malaysia untuk mencari rezeki. Dikatakan dia pernah bekerja sebagai juruteknik. Seperkara lagi, si ayah ini juga pernah bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang.
“Kerja apapun asal halal. Babeh selalu berusaha buat mereka tersenyum kerana senyum mereka yang selalu beri Babeh semangat..” katanya dalam ciapan di Twitter.
Semoga kisah pengorbanan Babeh ini menjadi inspirasi buat kita semua. Ayah mana yang tak sayangkan anak?
Sumber
Word Baby