Di Usia 18 Tahun Berjaya Bukti Kemampuan Diri, Gadis Pesawah ‘ingkar’ Hasrat Bapa

 

Seorang gadis membuktikan perwatakan
lembut bukan halangan memecah tembok dunia pekerjaan yang dimonopoli lelaki
apabila berjaya mengusahakan tanah sawah di Kampung Lepah, di Paser Puteh,
Kelantan seawal umur 18 tahun.

Tidak seperti gadis lain yang
seusianya, Siti Hajar Che Satar, 20, mempunyai keazaman yang sangat tinggi
untuk bergelar petani wanita yang berjaya di negeri ini.

“Saya memang terdedah dengan
kerja-kerja sawah sejak kecil lagi sebab ayah seorang petani tetapi mulai
serius ceburi kerjaya lasak ini bermula dua tahun lalu selepas tamat tingkatan
lima,” katanya.

Menurut Siti Hajar hasratnya untuk
bergelar petani awalnya tidak dipersetujui ayahnya, Che Satar Nor, 63, yang
lebih suka dia menyambung pelajaran.

Namun Siti Hajar berjaya meyakinkan ayahnya selepas
berjaya mengusahakan 0.4 hektar tanah sawah sebagai percubaan dengan meraih
jualan hasil pertama sebanyak RM4,000.

Siti Hajar berkata beliau makin
bersemangat untuk mengusahakan tanaman padi selepas berjaya mengekalkan ‘rekod’
baik sepanjang tiga musim lepas.

Bermula dari kejayaan tersebut, anak
bongsu daripada lapan beradik itu mula menambah kemahiran dirinya dengan
belajar mengendalikan dron, traktor pembajak dan memandu lori sendiri daripada
dua abangnya Mohd Firdaus, 27, dan Mohd Aiman, 23.

“Dua orang abang saya ini saya
anggap ‘sifu’ selain ayah. Mereka banyak mengajar saya mengendalikan semua
peralatan pertanian untuk proses penanaman padi.

“Dalam tempoh sebulan saya
berjaya menguasai kemahiran mengendalikan traktor bajak tanah selain
menggunakan dron untuk proses menabur benih dan membaja,” katanya.

 

Siti Hajar juga mampu mengendalikan
dron untuk mengusahakan sawah milik keluargannya. 

Berbekalkan kemahiran yang
dikuasainya itu Siti Hajar berhasrat menambah keluasan tanaman padinya kepada
empat hektar pada musim akan datang.

Bercerita mengenai cabaran bergelar
petani Siti Hajar mengakui ia bukan sesuatu yang mudah dan menuntut persediaan
mental dan fizikal.

Namun berbekalkan iltizam yang kuat
dia bersedia menyahut semua cabaran itu termasuk terpaksa berjemur di bawah
terik matahari.

“Ramai juga yang mempersoalkan
kerja pilihan saya ini kerana biasanya gadis seusia saya sangat mementingkan
kecantikan sedangkan saya sanggup berjemur di bawah terik matahari.

“Tapi bagi saya, tidak menjadi
satu kesalahan jika kita mempunyai pendirian berbeza asalkan apa yang diimpikan
mampu dicapai,” katanya.

Menurut Siti Hajar, bidang pertanian
mempunyai prospek kerjaya yang cerah memandangkan permintaan terhadap bekalan
makanan sangat tinggi di dalam dan luar negara.


Perspektif tersebut menguatkan lagi keyakinannya
untuk terus fokus kepada bidang yang diceburinya itu.

“Siapa tahu mungkin satu hari
nanti saya boleh mengusahakan tanah sawah yang lebih luas, memiliki pekerja yang
ramai, kilang pemprosesan padi sendiri dan produk beras jenama sendiri,”
katanya.

Sumber Bernama

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan
Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Pihak myteam network tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan
melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala
risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu
sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *