Dikenali Sebagai Guru Agama Dan Wartawan. Itulah Haji Mahadi Yang Merupakan Pengarah Filem Melayu Pertama

 

Haji Mahadi atau
Mohd. Mahadi bin Haji Mohd Said dilahirkan di Kampung Merbuk, Negeri Sembilan
pada tahun 1914. Beliau merupakan anak kelapan daripada 15 orang adik-beradik.

Bapa beliau, Haji
Mohd. Said merupakan seorang ulama dan tokoh agama yang dihormati di Negeri
Sembilan. Manakala abang sulungnya, Haji Ahmad Muhammad Said merupakan bekas
mufti Negeri Sembilan.

Haji Mahadi
dihantar belajar di Madrasah al-Falah di kota Mekah ketika berumur 14 tahun.
Beliau belajar di kota suci itu selama dua tahun. Kerana itu beliau digelar
‘Haji’ sewaktu menyertai dunia lakonan.

Bapanya mahukan
Haji Mahadi menjadi guru agama yang berkelulusan tinggi dalam bidang pengajian
agama. Bagaimanapun, harapan bapa beliau tidak tercapai kerana Haji Mahadi
memilih untuk menceburi bidang kewartawanan.

Haji Mahadi menjadi
wartawan di syarikat Utusan Melayu (Singapura) pada tahun 1939. Walau
bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk berhenti selepas itu.

Haji Mahadi beralih
pula ke dunia perfileman untuk mencari pengalaman baru pada tahun 1950. Haji
Mahadi menjadi penterjemah skrip di Malay Film Production (MFP).

Ketika itu, semua
pengarah di MFP terdiri daripada orang India yang tidak tahu berbahasa Melayu.
MFP menerima banyak kritikan daripada orang ramai terutama daripada pihak media
yang kesal dengan penguasaan pengarah India di studio itu.

Oleh demikian, MFP
bertindak segera, membetulkan keadaan dengan membuka pintu kepada orang Melayu
untuk menduduki kerusi pengarah filem.

Haji Mahadi berjaya merebut peluang yang baru dibuka oleh MFP itu. Maka,
bermulalah sejarah baharu apabila Haji Mahadi.

menjadi orang
Melayu pertama mengisi kerusi pengarah filem di MFP pada tahun 1952.

Haji Mahadi memilih
sebuah cerita bercorak drama masyarakat sebagai filem pertama arahan
beliau, Permata Di Perlimbahan. Filem tersebut dibintangi oleh
Nordin Ahmad dan Maria Menado.

Ternyata percubaan
Haji Mahadi itu kurang berhasil. Sambutan orang ramai terhadap filem tersebut
juga dingin.

Haji Mahadi terpaksa menerima hakikat
bahawa peluang beliau untuk terus mengarah filem telah tertutup. Haji Mahadi
dengan tenang menerima perubahan kedudukan beliau, iaitu daripada pengarah
kepada pelakon.

Kegagalan filem
arahannya itu membuatkan Haji Mahadi enggan mengarah filem lagi. Permata
Di Perlimbahan
 menjadi filem pertama dan terakhir arahannya. Haji
Mahadi beralih pula ke dalam bidang lakonan. Pada awalnya sebagai pelakon
pembantu sahaja.

Dalam bidang
lakonan, kebolehan Haji Mahadi memeranjatkan banyak orang. Lakonan awal beliau
dalam beberapa buah filem, membuktikan beliau seorang pelakon yang cukup
berkemampuan dan berpotensi besar. Hal tersebut diambil kira dari segi
perwatakan dan personaliti beliau yang menarik.

Kemantapan lakonan
beliau diperlihatkan dalam filem Sedarah yang diarahkan oleh
S.Ramanathan pada tahun 1952. Haji Mahadi membawa watak seorang bapa yang
tersepit dalam dilema dua orang anak lelaki yang saling bertentangan kerana
seorang gadis kampung.

Dalam filem Hujan
Panas
 pada tahun 1953, lakonan Haji Mahadi menerima pengiktirafan
apabila beliau dianugerahi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Festival Filem
Melayu anjuran majalah, Utusan Filem dan Sport yang diterbitan oleh
syarikat Utusan Melayu (Singapura).

Hujan Panas yang
diarahkan oleh B.N Rao dibarisi oleh P.Ramlee dan Siput Sarawak sebagai pelakon
utama.

Haji Mahadi
menonjol dengan watak serius seperti Raja, bapa, orang alim dan juga
pembimbing. P.Ramlee membuat percubaan berani dengan mengubah watak serius yang
sering dipegang oleh Raja Mahadi kepada watak lucu, melalui filem Tiga
Abdul
 pada tahun 1964. Ternyata, Haji Mahadi seorang pelakon yang
berwibawa dan serba boleh.

Walaupun bergelar
seniman, namun Haji Mahadi tidak lupa berdakwah di kalangan perkampungan artis
di Singapura. Beliau sering memberi panduan hidup dalam soal keagaaman mahu pun
kebajikan. Kerana itu Haji Mahadi amat dihormati oleh golongan artis pada zaman
itu.

Haji Mahadi
mengabdikan diri pada bidang perfileman sehingga MFP ditutup pada tahun 1967.
Filem terakhir lakonan beliau bersama MFP ialah Raja Bersiong dan Jebat Maut
yang kedua-duanya diarahkan oleh Jamil Sulong. Haji Mahadi meninggal dunia pada
20 Februari 1983 kerana sakit jantung di usia 69 tahun.

Haji Mahadi
berlakon hampir 80 buah filem. Antaranya ialah Anak Buluh Betong, Dayang
Senandong, Darah Muda, Neracha, Singapura Dilanggar Todak, Laksamana Bentan,
Isi Neraka, Si Tanggang, Puteri Gunung Banang, Batu Belah Batu Bertangkup,
Orang Minyak, Lela Manja, Dayang Senandong dan banyak lagi.

Sumber Buku Jejak
Terbilang terbitan Finas.

Apa Pendapat Anda?
Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Pihak MyTeam Network tidak
bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini.
Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang
disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *