Doktor dakwa beg berat antara punca tulang belakang anak bengkok

SEREMBAN – Seorang doktor mendakwa rutin anaknya menggalas beg sekolah berat selama bertahun-tahun menjadi antara punca dia menghadapi masalah tulang belakang bengkok.

Kesannya, anak sulung kepada pakar pediatrik Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi iaitu Nurul Hanim Fazwin, 17, terpaksa menjalani pembedahan membetulkan tulang belakangnya yang telah bengkok 40 darjah.

Menurut Dr Mohd Zaqrul, beberapa kajian dilakukan di negara Eropah menunjukkan membawa beg berat boleh memberi kesan kepada postur badan seseorang.

Bagaimanapun beliau mengakui alasan itu tidak boleh dinyatakan 100 peratus sebagai faktor yang menyumbang kepada masalah tulang belakang dan pertumbuhan kanak-kanak dan remaja seperti anaknya.

“Saya tak pernah terfikir yang anak saya menghadapi skoliosis iaitu masalah tulang bengkok, tetapi pada bulan Jun 2020, saya mula perasan yang keadaan jalannya tidak stabil.

“Apabila saya minta dia tunduk untuk lihat postur badannya, jelas kelihatan tulang belakang sebelah kanan badannya lebih tinggi berbanding sebelah kiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau kemudian membawa Nurul Hanim Fazwin ke hospital dan ujian X-ray dilakukan mendapati tulang belakang badannya bengkok 40 darjah.

X-ray menunjukkan sebelum dan selepas pembedahan.
Jelasnya, anaknya yang baru menjalani pembedahan bulan lalu kini terpaksa menjalani kuarantin di dalam ‘bilik sejuk’ di rumahnya.

“Anak saya tak boleh berpeluh dan perlu duduk dalam bilik bersuhu 16 darjah Celcius siang dan malam selama 21 hari bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Dia kini cuti sakit selama 10 minggu. Kesannya juga, dia tak boleh angkat berat, buat aktiviti lasak dan berjalan banyak,” katanya.

Kata Dr Mohd Zaqrul, apabila meneliti rutin harian anaknya dan berdasarkan perbualan dengan doktor lain, dia berpendapat beg berat adalah antara penyebab tulang belakang anaknya bengkok.

Ujarnya, sesiapa pun tidak boleh menafikan yang anak-anak menanggung beban membawa beg sekolah berat sejak berusia enam tahun.

“Saya difahamkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terdapat 2,000 kes pembedahan tulang belakang bengkok dilakukan dalam tempoh 10 tahun.

“Saya tak dinafikan kes tulang belakang bengkok bukan 100 peratus disebabkan bawa beg berat, ada lagi faktor lain. Tapi faktor itu juga perlu diambil kira kerana isu beg sekolah berat ini sudah diperdebatkan sekian lama,” katanya.

Selain itu katanya, penyakit tulang belakang bengkok dipanggil sebagai ‘adolescent idiopathic scoliosis’ yang mana adolescent bermaksud ‘remaja’, idiopathic ‘tak ada sebab’.

“Tapi ia juga tak bermaksud kita boleh terima budak bawa beg berat kerana isu ini gagal ditangani dan setiap tahun anak-anak kita terus membawa beg sekolah berat.

“Bagi saya isu beg sekolah berat perlu dijadikan polemik kebangsaan kerana saya percaya semakin ramai kanak-kanak bakal mengalami masalah sakit belakang jika ia tidak diselesaikan secara berkesan,” katanya.

sumber ;sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *