Dugaan penjual nasi lemak tepi kubur, ‘seram’ pelanggan nak beli lauk 50 sen… mula-mula ‘kata tak dapatlah’, kemudian ubah fikiran

RAGAM pelanggan merupakan cabaran utama bagi mereka yang terlibat dalam dunia perniagaan.

Terbaharu, tular video memaparkan peniaga nasi lemak, Nurul Nur Atikah Zamhari, 28, yang kelihatan serba salah apabila diminta menjual lauk pada harga yang tidak munasabah.

Menurut Nurul Atikah, lauk di kedainya dijual pada harga RM5 namun pelanggan tersebut meminta untuk membelinya dalam kuantiti kecil dengan harga serendah 50 sen.

“Ketika kejadian, ada seorang pelanggan beli nasi lemak biasa. Nasi lemak biasa berharga RM2.50, ada kangkung, telur sebelah dan timun.

“Kemudian pelanggan tu tanya harga lauk. Saya kata lauk RM5, kalau dengan nasi jadi RM7. Dia kata nak beli (lauk) sikit je, bagilah 50 sen ke… saya cakap tak dapatlah, barang mahal.

“Dia kata tak nak banyak pun. Saya nak bagi pun serba salah, kalau tak bagi lagi serba salah. Akhirnya saya bagi juga sikit lauk daging kepadanya dengan harga yang diminta. Akhirnya dia bayar RM2.50 je,” imbasnya.

Selain nasi lemak biasa pada harga RM2.50 dan nasi lemak berlauk seperti sambal paru, sambal sotong dan daging rendang pada harga RM7, Nurul Atikah turut menjual nasi lemak telur mata (RM3.50) dan nasi lemak ayam (RM7.50).

Dalam pada itu, Nurul Atikah secara kebetulan turut merakam video kejadian itu tanpa wajah pelanggan berkenaan sebelum dia berkongsinya menerusi aplikasi TikTok bagi bercerita mengenai realiti seorang peniaga.

Rata-rata netizen turut menyuarakan sokongan terhadap Nurul Atikah dan berharap dia terus sabar menghadapi kerenah pelanggan dalam perniagaan.

Bila berlaku macam ni, saya hanya mampu bersabar. Saya cakap dalam hati, tak apalah, mungkin dia seorang je yang macam ni.

“Orang meniaga can relate okay benda ni. Sedih dia tu tak terkata dah. Mungkin rezeki untuk customer tapi ujian untuk peniaga.

“Lauk saja 50 sen tu zaman bila kak oi? Semoga sis sentiasa diluaskan rezeki seperti air zam-zam yang mengalir.

“Nak makan sedap tapi nak murah. Kadang-kadang customer ni ingat beli barang pakai daun ke?” komen beberapa pengguna TikTok.

Menurut Nurul Atikah, ia bukanlah kejadian pertama, malah ramai rakan peniaga pernah bercerita mengenai kejadian hampir sama.

“Kalau nak ikutkan, video itu merupakan realiti kami hadap hari-hari. Kalau seorang dua pelanggan yang minta macam tu, boleh bagi lagi. Tapi pelanggan pun kenalah ada timbang rasa.

“Bukan hanya saya, ramai lagi peniaga lain turut kena. Selain itu, ada juga pelanggan yang buat perbandingan harga. Dia kata kenapa beli dekat tempat lain lebih murah?

Antara lauk-pauk dan kuih-muih yang dijual.

“Bila berlaku macam ni, saya hanya mampu bersabar. Saya cakap dalam hati, tak apalah, mungkin dia seorang je yang macam ni,” ujarnya yang berniaga di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut, Nurul Atikah berkata dia berniaga di samping ibu bapanya iaitu Normala Baharin, 60, dan Othman Saad, 72, yang mana ia telah diusahakan sejak 30 tahun lalu.

“Sekarang saya berniaga dengan ibu dan abah. Nenek yang mula berniaga dulu, kemudian turun kepada ibu. Sekarang saya pun ikut berniaga. Selain nasi lemak, kami juga ada jual kuih-muih.

Kedai ini lairis sehingga perlu menggunakan sistem nombor pada hari cuti hujung minggu.

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik, hari-hari habis. Kalau hari hujung minggu, kami kena sediakan sistem nombor sebab ramai pelanggan. Kedai kami hanya ditutup pada Isnin dan Selasa,” ujarnya.

Menurut Nurul Atikah yang sudah mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Zairi Abd Latif, kedai tersebut turut diberi gelaran ‘nasi lemak kubur’ memandangkan dia sekeluarga menetap bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat.

“Kalau orang nak cari, mereka cari nasi lemak kubur. Nama kubur tu sebab kami duduk bersebelahan kubur Datuk Keramat. Selain itu, kedai kami juga digelar Nasi Lemak Beratur atau Nasi Lemak Nombor disebabkan sistem nombor yang kami guna,” ujarnya lagi.

sumber;mstar