Gadis INI pakai turban, mafIa ular sawa, TIDUR dengan iguana… tak geli tapi terapi! – “Bela haiwan eksotik orang takut nak curi”

TURBAN’ yang dipakai seorang gadis bukannya biasa-biasa, dari kepala ia dijadikan ‘mafla’ dengan mengubah gaya lilitan di bahagian leher.

Namun, turban yang dimaksud itu sebenarnya adalah seekor ular sawa yang merupakan salah satu peliharaan haiwan eksotiknya.

Gadis berkenaan, Syazlin Hafisya Mohammad Hasni berkata, haiwan eksotik yang dibelanya adalah ular sawa, iguana, musang, ferret (spesis musang) dan arnab.

Menurut gadis berusia 20 tahun itu, minatnya terhadap haiwan eksotik muncul selepas mula mengikuti program dokumentari National Geographic sejak kecil.

Saya cerita kat ayah tentang haiwan-haiwan eksotik ni. Dan buat pertama kalinya ayah belikan iguana semasa saya berusia 15 tahun. Tiada haiwan berbisa yang saya bela.

Bila dah tambah beberapa iguana dan haiwan lain seperti ular, timbul idea mak untuk adakan pameran bergerak seperti di sekolah-sekolah,” katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Syazlin, katanya, antara sebab mengadakan pameran bergerak adalah bagi memberi kesedaran dan berkongsi ilmu dengan masyarakat mengenai haiwan eksotik.

Bila kami bela dan bawa keluar tunjuk pada orang, mereka tanya haiwan apa. Jadi, kami kongsi ilmu dengan memperkenalkannya menerusi pameran sebelum pandemik Covid-19.

Kami juga memberi kesedaran bahawa bukan semua haiwan eksotik itu berbisa. Kami nak ajar mereka untuk tidak terus takut atau bunuh apabila terjumpa haiwan tersebut,” ujarnya sambil menambah keluarganya mendapat lesen untuk memelihara haiwan eksotik dan permit bagi mengadakan pameran bergerak daripada Jabatan Perhilitan.

Setakat ini, terdapat tiga iguana, enam ular sawa, seekor musang dan seekor ferret yang dibela keluarganya, dan kesemuanya adalah jinak.

Antara lain yang turut dibela adalah cicak dari jenis Plated lizard, Frilled lizard dan Blue Tongue Skink, hamster dan Sugar Glider (spesis tupai) serta tikus belanda atau Guinea Pig.

Menurut gadis yang berasal dari Kulim, Kedah itu, kesemua haiwan eksotik itu dibeli di Malaysia dengan harga antara RM180 sehingga mencecah RM1,500 seekor.

Kami lepaskan kucing-kucing, banyak hilang kena curi. Bila kami bela haiwan eksotik seperti ular sawa dan iguana, lebih ramai yang geli dan takut. Jadi tak ada orang berani curi

Kesemua haiwan ini kami letak dalam sangkar, kecuali dua daripada tiga iguana dilepaskan di dalam rumah. Seekor tidur di ruang tamu, dan seekor lagi tidur di bilik saya.

Bagi saya, cara untuk menjaga kesemua haiwan ini adalah senang, cuma perlukan komitmen dan masa,” ujarnya yang merupakan anak tunggal.

Dalam pada itu, pelajar Diploma Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Teknologi Digital) di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang itu turut berkongsi pengalaman membela 20 ekor kucing pelbagai baka.

Kami lepaskan kucing-kucing, banyak hilang kena curi mungkin sebab bulu haiwan ni cantik seperti kucing Parsi. Sekarang hanya tinggal tiga ekor kucing je.

Bila kami bela haiwan eksotik seperti ular sawa dan iguana, lebih ramai yang geli dan takut. Jadi tak ada orang berani curi,” ujarnya secara berseloroh.

Syazlin berkata, membela haiwan-haiwan eksotik ibarat terapi yang mampu memberi ketenangan terutama ketika dilanda kesedihan, penat dan tertekan.

Saya anggap semua haiwan eksotik ni macam adik-adik, kawan saya paling rapat. Haiwan yang saya geli dan takut adalah ulat gonggok atau apa saja binatang yang banyak kaki seperti lipan.

Masa sekolah rendah dulu pernah trauma selepas terpijak seekor ulat gonggok sampai ia mengeluarkan bau. Sekarang kalau nampak ulat gonggok, akan terbayang ia masuk di celah-celah kaki dan merayap ke seluruh badan,” katanya.

sumber ;mstar