PENGALAMAN bercuti yang tidak akan dapat dilupakan!
Itulah yang dialami oleh gadis ini ketika dilanda musibah sewaktu melakukan aktiviti parasailing bersama sepupunya, baru-baru ini.
Detik-detik sewaktu mereka terjatuh dan terkandas beberapa minit di dalam laut turut dikongsikan di aplikasi TikTok.
Parasailing tumbang ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari,” tulis kapsyen pada perkongsian video yang sehingga kini meraih lebih daripada 141,000 jumlah tontonan.
Mengimbas kembali insiden ‘lucu seram’ yang berlaku pada Jumaat lalu itu, Nur Hanna Nor Azlan berkata ketika itu dia melakukan aktiviti parasailing bersama sepupunya Siti Zulaikha Yusof, di pantai Batu Feringgi, Pulau Pinang.
Kami sebenarnya bercuti ke Pulau Pinang bersama keluarga, namun yang nak buat parasailing tu empat orang sahaja. Ketika itu adalah hari kedua percutian kami.
Jadi saya dan sepupu naik dulu, lagi dua orang iaitu mak dan adik saya menunggu giliran di pantai. Pada mulanya okay je… tapi rasa macam sekejap sangat, kami dah terbang naik ke atas.
Bila dah dekat, masa tu kedudukan kami sedang-sedang tinggi, tiba-tiba saya nampak bot senget… tertanya-tanya juga. Sepupu saya tak nampak sebab dia pejam mata.
Tak sampai lagi nak betul-betul tinggi, maknanya baru sekejap je terbang, tiba-tiba kami dah jatuh dalam laut. Puncanya rolling antara bot dan tali parasailing rosak,” cerita gadis berusia 21 tahun yang berasal dari Changlun, Kedah ini.
Senang disapa sebagai Hana, gadis ini berkata impak terjatuh ke dalam air laut dengan posisi yang tidak sesuai menyebabkan dia dan sepupunya mengalami sakit pada bahagian pinggang meskipun ketinggian mereka di udara pada aras sederhana ketika itu.
“Memang masa jatuh dalam air tu, Allah je tahu rasanya… jatuh tu laju, menyebabkan pinggang sakit. Masa tu sepupu saya dah panik, tapi kami cuba bertenang.
Walaupun pakai jaket keselamatan, ombak pun agak kuat masa tu… terkapai-kapai juga. Kami cuba bertenang, tapi sebenarnya tali parasailing dah belit kaki… itu yang buatkan kami panik walaupun dlama video nampak macam tenang je. Mujur payung tu tak tutup kami.
Masa tengah terendam dalam laut sementara tunggu team penyelamat mereka sampai, kaki dan tangan saya pedih… rupa-rupanya ‘pakej lengkap’ kena sengat obor-obor sekali!” ujarnya sambil berseloroh.
Hana berkata dia bersyukur kerana sengatan yang terkena pada tangan kiri dan kaki kanannya tidak serius.
Memang masa jatuh dalam air tu, Allah je tahu rasanya… jatuh tu laju, menyebabkan pinggang sakit.
Selepas gagal kali pertama, mereka tawar kami mencuba untuk kali kedua. Kami pun okay la sebab tadi tak jadi. Tapi masa nak naik kali kedua, saya nampak payung kami tak terbang… saya bimbang perkara sama berulang.
Mereka pun tak dapat bagi jaminan, jadi kami batalkan hasrat untuk cuba lagi sekali. Selepas insiden tu, kami minta refund sebab ia bukan kesilapan kami. Mujurlah dapat,” ujar penuntut di sebuah politeknik di Selangor ini.
Tambah Hana, meskipun sudah beberapa hari berlalu, mereka berdua masih merasai kesakitan pada badan kerana impak terjatuh ke dalam laut.
Kami dah buat pemeriksaan doktor… Alhamdulillah tiada apa yang serius. Doktor cakap cuma ‘muscle pain’.
Kalau tanya pasal fobia, sepupu saya dia fobia walaupun itu bukan kali pertama dia buat aktiviti parasailing. Saya pula kali pertama naik, perasaan kecewa itu lebih banyak daripada fobia sebab saya tak dapat enjoy sepertimana expectation awal.
“Apa yang boleh saya kongsikan daripada pengalaman ini, kalau nak cuba parasailing, kena berani dan confident. Kedua, kita kena cari partner yang ngam. Susah kalau dua-dua panik.
“Ketiga, sepatutnya kita survey banyak tempat sebab banyak yang tawarkan aktiviti pantai. Keempat, aspek pakaian juga kena titikberatkan. Pilih pakaian yang sesuai kalau nak buat aktiviti ini sebab kita tak jangka apa yang akan berlaku,” katanya lagi.