Gigih ternak itik raih hasil lumayan

Tidak ada yang mustahil untuk meraih kejayaan jika kita sentiasa berusaha dan yakin dengan keizinan Allah. Berbekalkan ketulusan prinsip itulah Haji Bakar bin Haji Berudin tetap bangkit berusaha sehingga mencapai penghasilan yang amat membanggakan dalam industri ladang ternakan itik tempatan.

Haji Bakar selaku pemilik dan pengurus salah sebuah ladang ternakan itik di bawah Perusahaan Bakar bin Berudin (BHB Enterprise) menjelaskan sebelumnya tapak ladang seluas 15 ekar itu pada asalnya digunakan untuk ternakan ayam pedaging, namun terhenti begitu sahaja sekitar tahun 2010 disebabkan terdapat halangan tertentu.

“Pasang surut itu pasti ada, mengimbas kembali perusahaan ternakan ayam pedaging dahulu mengalami kegagalan pastinya tidak mematahkan diri ini untuk bangkit kembali. Sehingga dengan izin Allah SWT jua, sekitar tahun 2014 dan 2015, saya mula menceburi dunia ternakan itik penelur sehingga kini sepenuhnya,” jelasnya dengan penuh kesyukuran semasa ditemui penulis di tapak ladang ternakan di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Luahan Jerudong, baru-baru ini.

Bermula dari hanya 18 ekor itik Berkongsi detik bermula ketika beliau menceburi bidang ternakan itik, Haji Bakar menyatakan bahawa beliau hanya menternak sebanyak 18 ekor itik penelur pada mulanya dan pada ini beliau mempunyai lebih 4,000 ekor itik penelur telah diternak dengan menggunakan sistem semi intensif iaitu tidak berkurung sepenuhnya.

“Mengenai dengan aspek penetasan atau pembiakan jumlah ternakan, sebanyak 50 ekor itik betina akan disatukan bersama 10 ekor itik jantan secara umumnya. Kebiasaanya, seekor itik akan bertelur pada waktu malam iaitu sekurang-kurangnya ketika dalam lingkungan usia enam atau tujuh bulan sehingga mencecah usia dua tahun setengah,” jelasnya lagi yang kini memiliki 13 buah kandang itik secara keseluruhannya.

Haji Bakar tetap bangkit berusaha sehingga mencapai penghasilan yang amat membanggakan dalam industri ladang ternakan itik tempatan.

Melalui penghasilan telur itik mahu pun daging itik, Haji Bakar kebiasaannya menjual terus dari ladang, namun mengkomersialkan sebahagiannya di Tamu Kianggeh dan juga ke beberapa buah pasar raya tempatan.

Dalam meniti perusahaan ternakan selama enam tahun ini, sebanyak 1.2 juta biji telur itik secara purata telah berjaya dikeluarkan oleh perusahaan milik Haji Bakar untuk pasaran domestik iaitu anggaran 1,200 biji telur itik dalam jangka masa sebulan – Gambar serahan Perusahaan BHB.

Berkongsi detik mula menceburi bidang ternakan itik, Haji Bakar menyatakan bahawa beliau hanya menternak sebanyak 18 ekor itik penelur pada mulanya dan kini lebih 4,000 ekor itik penelur telah diternak dengan menggunakan sistem semi intensif iaitu tidak berkurung sepenuhnya – Gambar serahan Perusahaan BHB.
Pengeluaran 1.2 juta biji telur itik

Dalam pada itu, Haji Bakar turut menambah bahawa seekor itik penelur yang berkualiti akan mengeluarkan lebih 20 biji telur dalam sebulan. Ternakan itik penelur jenis Khaki Campbell dan Muscovy merupakan antara jenis itik yang memiliki potensi kualiti terbaik yang telah diusahakannya kerana sejenis itik itu mampu mengeluarkan kuantiti telur yang tinggi dan juga berkualiti.

“Dalam meniti perusahaan selama enam tahun ini, sebanyak 1.2 juta biji telur itik secara purata telah berjaya dikeluarkan untuk pasaran domestik iaitu anggaran 1,200 biji telur itik dalam jangka masa sebulan,” jelasnya lagi yang juga menternak jenis itik jantan untuk dikomersialkan dagingnya bagi orang ramai yang berminat.

‘Trial and error’ menjadi pembelajaran berterusan

Melalui penghasilan telur itik mahu pun daging itik, Haji Bakar kebiasaannya menjual terus dari ladang, namun mengkomersialkan sebahagiannya di Tamu Kianggeh, Bandar Seri Begawan dan juga ke beberapa buah pasar raya tempatan.

“Saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus, namun saya hanya berbekalan pembelajaran secara persendirian berkonsepkan ‘trial and error’ itulah yang sentiasa saya semai dalam menceburi bidang ternakan ini. Pastinya, sebagai seorang penternak, kita memerlukan penyelidikan dan tindakan pembaikan secara berterusan dari hari ke hari meliputi dari segi pemilihan jenis itik, sumber makanan dan minuman, penjagaan serta isu keselamatan,” tambahnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.