Guna serai elak burung mati di musim tengkujuh

Jertih: Berbekalkan modal serendah RM1 untuk membeli beberapa batang serai mampu menyelamatkan nyawa burung yang berisiko mati kesejukan apabila tiba musim tengkujuh.

Pemilik kedai haiwan peliharaan, Muhammad Fadil Che Mohd Pauzi, 24, dari Kuala Besut di sini, memuat naik video di TikTok dengan berkongsi petua orang lama menggunakan serai bagi memastikan haiwan itu dapat bertahan ketika cuaca sejuk dan musim hujan.

“Ramai rupanya yang tidak tahu tentang tips ini dan selepas berkongsi video itu saya mendapat pelbagai soalan daripada peminat burung.

“Ada dua cara yang boleh digunakan untuk beri serai kepada burung, cara pertama beri terus sebatang serai untuk dimakan dan cara kedua serai dipotong kepada beberapa bahagian terlebih dahulu.

“Kaedah ini hanya sesuai untuk semua jenis burung yang makan tumbuhan, jika burung tidak makan tumbuhan boleh diganti dengan ulat,” katanya di kedainya di Kuala Besut, di sini.

Fadil berkata, antara kelebihan serai adalah dapat memanaskan suhu badan burung supaya tidak mati kesejukan.

“Selalunya jika burung berada dalam keadaan kesejukan dalam tempoh dua hari atau lebih akan mudah mati kerana tidak mampu bertahan.

“Jika boleh sepanjang musim hujan ini sediakan bekalan serai dan letakkan sekurang-kurangnya dua kali seminggu serai di sangkar burung untuk dimakan.

“Bila musim panas, serai tidak boleh diberi kepada burung kerana apabila cuaca panas dan suhu badan burung panas kerana makan serai juga boleh mendatangkan risiko kematian,” katanya.

Menurutnya, dia mula mengamalkan tips itu sejak mula berjinak dengan dunia burung ketika masih di alam persekolahan.

“Pada peringkat awal membela burung sekadar hobi tetapi lama kelamaan menjadi sumber pendapatan apabila ada peminat burung mahu membeli burung yang saya bela.

“Disebabkan itu saya mula mengusahakan kedai haiwan peliharaan ini sejak lapan tahun lalu dan kini mempunyai kira-kira 300 ekor burung pelbagai spesies dibela dalam sangkar,” katanya.

sumber ;metro