Hidupku Musnah Angkara Ilmu Kongkang, “Setiap kali saya mahu mula berniaga, tiba-tiba saja semangat untuk bekerja hilang”

 

Manusia penuh
dengan hasad dengki. Sanggup melakukan apa saja, hatta melihat orang lain
menderita, asalkan hajat atau dendamnya tertunai. Itulah yang pernah saya
alami. Kerana hasad dengki, hidup saya menderita.

Pada tahun 2008,
beberapa bulan selepas dinaikkan pangkat sebagai pegawai di sebuah bank, saya
berhenti kerja. Tindakan saya itu ditentang isteri, keluarga dan rakan-rakan.
Semua kecoh dan bertanya kenapa saya hendak berhenti mengejut. Sedangkan hidup
saya sudah stabil dengan pekerjaan tetap.

Saya sendiri tidak
tahu kenapa saya buat keputusan mendadak itu. Apa yang saya tahu, nafsu dan
semangat untuk bekerja seolah-olah hilang. Terbang sekelip mata. Itu saja.

Walaupun dihalang,
saya sudah bulatkan tekad. Saya tetap berhenti. Dengan sedikit duit simpanan,
saya menyewa sebuah kedai dan mula berniaga barang runcit. Tapi, perniagaan itu
hanya bertahan dua bulan.

Setiap kali saya
mahu mula berniaga, tiba-tiba saja semangat untuk bekerja hilang. Badan jadi
lemah dan mengantuk. Akibatnya, setiap hari ke kedai tapi saya bukannya
berniaga sebaliknya hanya datang untuk tidur. Kedai saya tutup.

Selepas perniagaan
lingkup, saya berjinak-jinak pula sebagai penceramah dan ejen menjual insurans.
Awalnya, semangat saya berkobar-kobar. Tapi, bila usaha itu mula menampakkan
hasil, saya jadi malas semula. Semangat bekerja hilang begitu saja.

Bila sampai di
rumah pelanggan, saya batalkan hasrat berjumpa mereka. Saya pulang semula ke
rumah dan termenung. Fikiran saya kosong. Akibatnya, pekerjaan itu juga
lingkup.

Keadaan ini
berlanjutan selama setahun. Kehidupan saya tunggang langgang. Kereta ditarik
pihak bank. Saya mula berhutang keliling pinggang. Poket sentiasa kosong. Duit
simpanan habis.

Suatu hari, kakak
kandung minta saya menemaninya untuk berubat dengan seorang ustaz di salah satu
cawangan Darul Syifa. Selepas selesai berubat dan kami mahu pulang, tiba-tiba
kakak memberitahu sesuatu pada saya.

“Dik, engkau
berubat lah. Aku nampak ada benda putih atas kepala engkau tadi,” kata kakak
serius. Mendengarnya saya ketawa. Nak berubat buat apa pula? Saya bukannya
sakit. Kata-kata kakak tadi saya anggap merepek dan saya menolak permintaannya.

Rupanya dalam diam,
apa yang kakak nampak pada saya itu diceritakan pada Ustaz Rahman yang
merawatnya ketika datang berubat kali kedua. Lalu Ustaz Rahman meminta saya
berjumpa dengannya.

Bagi menjaga hati
kakak, saya akur. Hari itu, segala masalah yang berlaku pada saya terbongkar.
Baru saya tahu kenapa sebelum ini saya sering termenung, hilang semangat
bekerja dan hilang arah tujuan.

Kata Ustaz Rahman,
diri saya sebenarnya sedang dikuasai jin. Jin tersebut dihantar oleh individu
yang dengki dengan saya. Menggunakan badan kakak sebagai perantara, Ustaz
Rahman memanggil jin yang menguasai badan saya. Sebaik kakak dirasuk, Ustaz
Rahman mula berdialog dengan jin tersebut dan saya boleh mendengarnya.

“Siapa engkau?”
soal ustaz Rahman pada kakak yang sudah tidak sedarkan diri.

“Aku jiran rumah
sebelah. Aku tak suka budak ni. Aku benci dia. Aku tak nak dia berjaya. Aku nak
dia hidup merempat,” jawab jin itu dengan suara garau seperti lelaki.

Selepas bertanya beberapa
soalan lagi, segala persoalan terjawab. Rupa-rupanya, jiran saya yang berusia
50 tahun itu sebenarnya dengki dengan kejayaan saya. Maklumlah, anak-anaknya
semua tak menjadi. Disebabkan itu, jiran saya berjumpa bomoh dan menyihirkan
saya dengan cara menanam objek yang telah dijampi, di hadapan rumah kami.

Selepas berubat,
Ustaz Rahman minta saya datang lagi. Mengikut firasatnya, masih ada jin yang
bersarang dalam tubuh saya.

Ketika datang
berubat kali kedua sambil ditemani isteri, sekali lagi kakak dijadikan
perantara untuk berdialog.

“Siapa engkau?”
soal ustaz setelah jin memasuki tubuhnya.

“Aku mak mertua
dia,” jawab jin di dalam badan kakak. Sebaik mendengar jawapan itu, saya dan
isteri terkejut. Kami seakan-akan tidak percaya apa yang didengari tadi.

“Kenapa engkau buat
dia macam ni?’ Ustaz Rahman terus menyoal.

“Aku nak buat dia
bercerai. Aku diarahkan buat dia berpisah. Selepas dia berhenti kerja, anak
tuan aku hidup susah. Aku mahu mereka bercerai. Aku dah lama tak suka dia ni,”
jawab jin itu lagi.

Sebaik
mendengarnya, air mata saya dan isteri mengalir. Kami seakan tidak percaya
seorang ibu sanggup buat begitu. Dalam sesi dialog itu lagi, kami diberitahu
yang ibu mertua saya sudah lama tidak suka pada saya. Puncanya, isteri menolak
calon pilihan ibunya dan memilih saya sebagai suami. Memang benar isteri saya
pernah menolak lamaran calon pilihan ibunya semata-mata memilih hidup bersama
saya.

Alhamdulillah, jin
tadi berjaya dikeluarkan dari tubuh saya. Tapi, saya sihat tidak lama. Tidak
lama kemudian, saya kembali jadi seperti sebelum ini.  Apabila saya datang
kali ketiga untuk berubat, Ustaz Rahman menolak untuk merawat saya.

“Kali ni saya tak
boleh tolong. Yang ni kuat. Saya tak boleh lawan. Awak telah diberi makan
tulang kongkang,” kata Ustaz Rahman.

Tulang kongkang?

Beritahu Ustaz
Rahman, kongkang ialah haiwan seperti beruk tapi memiliki mata bulat yang
besar. Pergerakannya sangat perlahan. Biasanya
kongkang diburu untuk dijadikan ubat. Tapi dalam kes saya, ia telah disalah
guna dan dijadikan sihir si*l. Sesiapa yang terkena sihir ini, hidupnya
sentiasa malang.

“Yang bagi makan
tulang kongkang ni kawan awak juga. Masa awak kerja dulu. Dia dengki awak naik
pangkat,” beritahu Ustaz Rahman.

Mendengar
penjelasan itu sekali lagi saya terkejut. Memang benar saya dinaikkan pangkat
dan ada beberapa orang di dalam bank itu yang tidak berpuas hati. Tapi hanya
beberapa bulan selepas dinaikkan pangkat, saya berhenti kerja.

Tambah Ustaz Rahman
lagi, selepas diberi makan tulang kongkang yang telah dihancurkan itulah, saya
mula jatuh sakit. Hidup saya jadi kosong, malas bekerja dan hilang semangat.

Kerana tidak mampu
merawat saya, Ustaz Rahman mengesyorkan saya berjumpa seorang lelaki. Katanya,
lelaki itu mungkin boleh menolong saya. Ketika mula-mula berjumpa lelaki yang
dipanggil Pak Samad itu, dia juga enggan merawat saya. Tapi selepas saya
ceritakan semua yang berlaku, barulah Pak Samad akur dan setuju membantu saya.

“Ilmu tulang
kongkang ni kuat sangat. Kalau aku rawat pun engkau tak akan pulih sepenuhnya,”
awal-awal lagi Pak Samad bagi peringatan.

Katanya lagi, ilmu
tulang kongkang biasanya diamalkan oleh orang asli. Sesiapa yang termakan
tulang itu, kesannya buruk. Biasanya seseorang itu akan dibenci orang
sekeliling. Rezekinya tertutup dan orang akan menyampah bila memandang
wajahnya.  

Patutlah sebelum
ini, apa yang saya lakukan semua orang tak suka. Malah jika seseorang itu
menolong saya, orang itu pula yang akan menerima musibah. Mulanya saya sendiri
sukar percaya. Tapi bila mengenangkan apa yang berlaku sepanjang saya sakit,
apa yang diberitahu Pak Samad mungkin ada benarnya.

Bayangkan sejak
berhenti kerja bank, berpuluh-puluh permohonan kerja saya hantar. Puluhan temu
duga saya hadiri. Tapi satu pun tak sangkut. Malah pernah seorang kenalan yang merupakan
penolong pengurus sebuah bank cuba membantu saya untuk mendapatkan kerja di
tempatnya. Namun, beberapa minggu kemudian rakan saya itu pula berhenti kerja
tanpa sebab.

Bukan itu saja.
Pernah saya minta kerja di sebuah gudang mengangkat beras, pasar raya dan kedai
makan. Tapi, kerja begitu pun gagal saya dapatkan. Malah, saya dihalau pulang.

Saya masih sering
berulang alik mendapatkan rawatan. Entah bila saya akan pulih sepenuhnya, saya
sendiri tak tahu. Saya ceritakan semua ini sebagai peringatan buat pembaca agar
berhati-hati dalam berkawan.

Kepada mereka yang
punya sifat dengki, janganlah guna cara begini untuk memuaskan hajat diri.
Kasihanilah orang lain. Lihatlah apa yang berlaku pada saya. Akibat perasaan
dengki, hidup saya musnah.

Sumber Shamsul
Zakaria

Apa Pendapat Anda?
Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Pihak MyTeam Network tidak
bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini.
Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang
disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *