Ibu buntu anak sering sawan tanpa tahu punca, ikhtiar terakhir ambil air tulang belakang pun dah buat! – “Tak ada gambar jalan-jalan, semua di hospital”

DARI seorang bayi yang ceria dan petah, namun kini berubah menjadi pendiam dan berada dalam dunianya sendiri.

Demikianlah ujian yang menimpa ibu muda ini apabila anak keduanya disahkan menghidap epilepsi ketika belum lagi mencapai usia setahun.

Kisah ringkas ini yang dikongsi menerusi satu video di aplikasi TikTok nyata meruntun hati netizen.

Siti Norhayati Osman berkata segala-galanya bermula apabila anaknya, Nur Hanis Qalesya Mohd Annas mengalami demam ketika berusia lapan bulan.

“Masa demam tu suhunya tinggi 39 hingga 40 darjah celcius. Saya bagi ubat demam tapi tak sampai 10 minit selepas itu, Qalesya ‘tarik’. Saya dan suami tak pernah tengok macam tu sekali keadaannya.

“Itulah kali pertama kami lihat. Keadaannya pelik sangat. Suami saya azankan sebab kami tak tahu nak buat apa. Kami terus bawa Qalesya pergi ke hospital.

“Di hospital, doktor lakukan x-ray dan rawat. Alhamdulillah, demamnya kebah tapi sawannya masih ada lagi. Malah lebih kerap hingga pernah 18 saat saja selang.

“Doktor buat pula Computerised Tomography (CT) Scan sebab bimbang ada pendarahan… Alhamdulillah, keputusannya OK. Tapi masih tak tahu apa punca sawannya lalu doktor nak ambil air tulang belakang namun kami menolak,” cerita ibu muda berusia 24 tahun yang berasal dari Padang Besar, Perlis ini.

Menurut Siti Norhayati, selepas dua minggu dirawat dan dibenarkan keluar hospital, dia dan suami berikhtiar merawat anak mereka dengan menggunakan kaedah perubatan Islam.

Alhamdulillah ketika berubat dan juga ambil ubat sawan dalam masa yang sama, keadaan Qalisya nampaknya beransur pulih dan dia tak alami sawan,” kata ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini.

Namun panas yang disangka hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Empat bulan kemudian, ketika mereka sekeluarga bergembira meraikan 1 Syawal, Qalesya sekali lagi mengalami sawan.

“Qalesya langsung tak demam atau jatuh pun, tiba-tiba sahaja dia sawan. Saya dan suami segera bawa ke hospital di Kangar. Namun kerana ketiadaan pakar, kami putuskan untuk bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dalam telefon bimbit saya mana ada gambar pergi jalan-jalan… semuanya gambar ketika Qalesya di hospital.

“Qalesya disahkan menghidap epilepsi dan jalani CT Scan, MRI, namun keputusannya OK… tak tahu apa puncanya. Doktor sekali lagi cadang ambil air tulang belakang. Kami buntu sangat namun tiada pilihan, akhirnya benarkan juga.

“Tapi hasilnya tetap sama. Kami sedih sangat sebab Qalesya jalani macam-macam prosedur sedangkan dia masih kecil. Sekarang dia bergantung kepada ubat sawan dan prosedur Elektroensefalogram (EEG) setiap tiga hari sekali,” katanya yang menjalankan bisnes online produk kosmetik.

Bercerita lebih lanjut, Siti Norhayati berkata keadaan yang dialami anak bongsunya itu menyebabkan perkembangannya terbantut jika dibandingkan dengan bayi seusianya.

“Sekarang pada usia setahun lima bulan, baru Qalesya boleh berjalan. Dia tak boleh bercakap malah masih makan bubur. Sekarang ni saya berehat sebentar daripada bekerja kerana nak fokus kepada anak.

“Biarlah lambat macam mana pun perkembangannya, kami tetap sabar berikhtiar kerana sebagai ibu bapa, kami tetap mahu yang terbaik untuknya.

“Tujuan saya muat naik videonya adalah kerana nak kongsi pengalaman dan peringatan bersama buat ibu bapa. Dalam telefon bimbit saya mana ada gambar pergi jalan-jalan… semuanya gambar ketika Qalesya di hospital.

“Terharu sangat baca komen netizen yang bagi kata-kata semangat dan mendoakan. Ramai juga kongsi pengalaman yang sama. Apa yang boleh saya sampaikan, jangan sesekali ambil remeh kalau anak demam. Periksa suhu, pantau pergerakannya dan terus dapatkan rawatan,” katanya lagi.