Ibu disyaki ketuk kepala anak dengan tukul besi hingga mati

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemukan meninggal dunia dengan penampakan luka di bahagian kepala di Desa Gedangsewu, Kediri, Jawa Timur.

Sehingga kini, punca sebenar kematian mangsa belum diketahui, lapor Tribunnews.

Bagaimanapun, ada beberapa kejanggalan dalam kematian itu sehingga mangsa disyaki maut dibunuh.

Ketua Kampung Gedangsewu, Ruslan berkata, penduduk kampung menemukan tukul besi bersebelahan kanak-kanak tersebut.

Katanya, ibu mangsa yang berusia 30 tahun yang sebelum ini gagal dikesan, kini sudah ditemukan dan ditahan pihak berkuasa.

Polis memaklumkan, wanita tersebut ditemukan dalam keadaan lemah dan sugul di dalam kolam ikan berhampiran kawasan rumahnya.

Ibu mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan polis akan memulakan soal siasat selepas keadaannya stabil.

Dalam pada itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kediri, Rizkika Atmadha berkata, pihaknya sudah menjalankan bedah siasat terhadap jenazah kanak-kanak itu.

“Hasil maklumat yang diperoleh kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi, Sabtu lalu, ketika ibunya masih berada di rumah.

“Ketika itu, wanita itu memanggil anaknya yang bermain di rumah jiran sebelah. Selang beberapa minit kemudian, nenek mangsa menjerit ketakutan selepas menemukan kanak-kanak itu dalam keadaan berlumuran darah.

“Jiran mangsa datang ke rumah mereka dan membawanya ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

sumber ;agensi