Ikan, ketam perlu ‘swab test’ di China, kes Covid-19 sedang mencanak

IKAN dan ketam antara hidupan laut yang diberi ujian calitan (swab test). Video yang memaparkan aksi berkenaan tular di media sosial China sehingga mencetuskan perbincangan hangat.

Walaupun makanan laut tidak menjadi perumah kepada virus itu, banyak kes dikaitkan dengan pekerja di pelabuhan di republik itu termasuk mereka yang mengendalikan barangan sejuk beku di pasar makanan laut.

Ketika peningkatan kes Covid-19 di Xiamen China, ujian calitan dalam skala besar dilakukan di bandar pantai itu. Seramai lebih lima juta orang warga Xiamen diarahkan untuk menjalani ujian Covid-19. Tidak hanya manusia, beberapa spesies hidupan laut turut disenaraikan.

Video yang dikongsi oleh South China Morning Post di Twitter menunjukkan pihak berkuasa yang lengkap PPE memasukkan putik kapas ke dalam mulut ikan dan membuat calitan pada kulit ketam.

Video itu menjadi tular di media sosial China mencetuskan perdebatan hingga wujud segelintir yang memandang ringan tindakan pihak berkuasa menguji kehidupan laut. Bagaimanapun rata-rata netizen menyokong dan berpendapat langkah yang diambil itu wajar bagi memastikan kesejahteraan masyarakat.

MENURUT LAPORAN BLOOMBERG, UJIAN BESAR-BESARAN ITU DILAKUKAN BERIKUTAN WABAK KORONAVIRUS SEMAKIN PARAH DI HAINAN YANG MANA WUJUD SPEKULASI MENGATAKAN IA BERASAL DARI KEDAI PENJUAL IKAN.

Penyelidik di China mendapati virus Covid-19 boleh kekal di dalam makanan sejuk beku, makanan diproses dan produk sejuk beku.

Saintis juga menemui perkaitan antara mangsa yang dijangkiti dengan barangan import. Bagaimanapun tahap jangkitan tidak diketahui. Teori itu diterima kerajaan China hingga menyebabkan beberapa pasar raya di sana menggunakan ruang penyejuk berasingan untuk barangan import.

Tidak hanya manusia, hidupan laut turut diuji calitan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 (Kredit foto: Twitter South China Morning Post)
“Kami menguji individu dan hasil tangkapan sebagai ujian sampel untuk kumpulan makanan laut.

“Kami mengambil pengajaran dari Hainan yang kini menyaksikan penularan wabak yang serius. Perebakan di sana dikatakan berpunca daripada transaksi produk marin antara nelayan tempatan dan rakan sejawat mereka di luar negara,” kata sumber Biro Pembangunan Lautan Perbandaran Xiamen.

Menurut laporan BBC, perebakan wabak Covid-19 pernah berlaku di Beijing pada Jun 2020 yang mengakibatkan panik di kalangan orang ramai terhadap salmon.

Ia ekoran penemuan virus Covid-19 pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong ikan salmon import. Keputusan tersebut menyebabkan import salmon dihentikan.

Sumber: South China Morning Post, Indianexpress, Kompas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *