KETIKA rakan sebaya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, remaja berusia 18 tahun ini memilih untuk tinggal di kampung dan meneruskan perniagaan gerai milik Allahyarham bapanya.
Menurut Muhd Mizal Aimal Azmi, dia percaya akan ketentuan rezeki dan menganggap setiap insan ada perjalanan tersendiri sebelum menuju ke puncak kejayaan.
Saya ada tengok kawan-kawan sambung belajar. Tapi saya selesa duduk dengan mak dan berniaga gerai. Saya dah terbiasa begini. Saya dah tolong arwah ayah berniaga sejak tingkatan dua.
Pada saya, ia bergantung kepada rezeki masing-masing. Setiap orang dikurniakan rezeki tersendiri. Dapat duduk dengan mak pun satu rezeki,” ujarnya yang mesra disapa Mizal.
peniaga gerai minuman dan ayam goreng di Permatang Bendahari, Penaga, Pulau Pinang itu mendedahkan Allahyarham bapanya, Azmi Mat Din, meninggal dunia akibat kemalangan motosikal pada tahun 2019.
Dia yang juga anak tunggal kini meneruskan legasi perniagaan gerai itu disamping menjaga ibunya, Wan Noriza Wan Hamzah yang berusia 53 tahun.
“Dulu kami bertiga berniaga. Arwah ayah, mak dan saya berniaga sekali. Selepas ayah meninggal, mak berniaga pada waktu pagi, balik sekolah saya pula sambung berniaga. Pernah juga buat kerja sekolah di gerai.
Sekarang mak dah tak berniaga, dia berehat di rumah saja. Saya teruskan berniaga dengan seorang pembantu sekarang.
Ada banyak cabaran berniaga di tepi jalan. Tapi kami teruskan demi sesuap nasi. Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, perniagaan turut terjejas.
Arwah pernah kata, susah macam mana pun, kita kena usaha sampai berjaya.
Kemudian saya perkenalkan khidmat penghantaran (COD). Alhamdulillah, semuanya OK sekarang. Biasalah bila berniaga, ada naik turun,” ujarnya lagi.
Menurut Mizal, dia turut memegang kata-kata Allahyarham bapanya yang mana ia menjadi sumber kekuatan untuk dia mengejar impian.
Kini, Mizal juga sedang dalam perancangan untuk membuka gerai kedua pada tahun depan dan turut memasang impian memiliki restoran suatu hari nanti.
Banyak yang saya belajar dengan arwah ayah. Dia banyak ajar mengenai kesusahan hidup. Dia juga ajar saya untuk berusaha hingga berjaya suatu hari nanti.
Arwah pernah kata, susah macam mana pun, kita kena usaha sampai berjaya. Saya juga tengah rancang untuk buka satu lagi cawangan tahun depan dan ada impian untuk buka restoran suatu hari nanti,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Mizal turut terharu dengan sokongan ramai yang diterima selepas dia aktif berkongsi video di TikTok.
Kata Mizal, dia terharu membaca kiriman doa netizen yang mana ia dianggap sebagai pembakar semangat untuk terus gigih mengejar impiannya.
Ada juga saya dapat pelanggan baharu dari TikTok. Alhamdulillah, seronok bila ramai yang bagi sokongan.
Saya terharu bila orang tak dikenali pun mendoakan saya. Mereka doakan saya dimurahkan rezeki dan berjaya suatu hari nanti. Memang rasa sebak sangat.
Saya nak ucapkan terima kasih kepada yang beri sokongan dan tinggalkan komen baik-baik, hanya Allah boleh balas jasa anda semua,” ujarnya lagi.