Inilah Kisah Lagenda SI TANGGANG Yg Terjadi Di Bukit Treh Muar Yang Ramai TAK TAHU !!!

Sepertimana ramai orang tahu akan kewujudan Kota A Famosa di Melaka, rasanya begitu juga ramai orang Melayu pernah mendengar cerita Si Tanggang, seorang anak derhaka yang disumpah oleh ibunya sehingga dia dan seisi kapal miliknya bertukar menjadi batu.

Cerita lagenda Melayu ini sangat terkenal sehingga ada beberapa lokasi di Tanah Melayu dikaitkan dengannya, termasuk Batu Caves di pinggir bandaraya Kuala Lumpur yang sekarang terkenal dengan kuil Hindu serta patung dewa setinggi bangunan 14 tingkat di hadapannya.

Wilayah Indonesia juga memiliki cerita yang serupa, cuma nama wataknya berbeza iaitu Malim Kundang. Kesannya dikatakan masih ada di Sumatera, hingga kini masih kelihatan batu-batan berbentuk sauh, tali kapal, manusia dan sebagainya. Tetapi berapa ramai yang tahu cerita anak derhaka disumpah jadi batu ini juga dikatakan berlaku di Muar, lebih tepat lagi di Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5 km daripada pusat bandar kedua terbesar di Johor itu.

Sekadar mengimbas kembali, Si Tanggang dilahirkan di kalangan keluarga miskin yang duduk di pinggir hutan, ada yang kata daripada keluarga orang asli. Apabila masuk remaja dia telah keluar merantau ke negeri orang, ada pula cerita yang menyebut dia telah ditangkap rombongan pendatang yang kemudian membawanya belayar ke negeri lain. Apapun, anak muda ini sangat rajin, pintar serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Maka dia berjaya menjadi saudagar kaya-raya dan turut menjadi nakhoda kapal, dapat berkahwin dengan beberapa orang isteri (menurut satu riwayat, tiga orang) dan isteri nombor tiga adalah seorang puteri raja.

Batu laut yang ditemui di Bukit Treh yang terletak 6km dari pantai. Ramai orang pelik camna batu laut boleh sesat di bukit ini.

Pada suatu hari Si Tanggang telah keluar belayar membawa ketiga-tiga isterinya berjalan. Kebetulan dan tanpa disedari dia telah singgah di kampung halaman tempat asal-usulnya. Dipendekkan cerita, ibu-bapanya yang telah lama tidak ditemui mendapat tahu tentang kedatangan seorang saudagar yang memiliki ciri-ciri anak mereka yang hilang lalu pergi menyiasat. Setelah pasti itulah Si Tanggang, mereka cuba merapatinya dengan membawa makanan hutan kegemarannya semasa kecil dahulu.

Sebenarnya Si Tanggang sedar bahawa orang yang datang itu adalah ibu-bapa kandung yang telah membesarkannya dahulu tetapi beliau terasa malu hendak mengaku di hadapan orang-ramai terutama para isterinya yang cantik rupawan lagi bangsawan. Apapun, menurut ceritanya, isteri ketiga yang merupakan seorang puteri raja telah menyuruhnya menerima kedua orang tua yang datang itu. Katanya, apa salah mengaku ibu bapa kandung sendiri tak kiralah seburuk mana pun rupa mereka. Rupa-rupanya kata-kata ini telah membuat Si Tanggang terasa lebih malu dan tersinggung. Beliau mula mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah-seranah menyuruh orang tua itu pergi.

Makam puteri raja di Bukit Treh.

Dalam keadaan hati hancur luluh dihina begitulah si ibu lalu menadah tangan kepada Ilahi seraya berdoa, kalau betullah pemuda di hadapannya adalah Si Tanggang yang pernah dikandungnya selama 9 bulan lebih, maka buktikanlah dengan menukarkan segalanya menjadi batu.

Oh baru teringat, ada satu sahaja perbezaan antara cerita Si Tanggang yang dikenali ramai dengan cerita serupa di Muar. Watak utama di Bukit Treh, Muar telah bertukar menjadi helang yang dikatakan sampai sekarang kadang-kala berlegar di kawasan itu, helang lagenda yang dikenali sebagai helang makku! Sebabnya, ia terlalu menyesal atas kesalahannya lalu sering keluar terbang sambil menjerit merintih memanggil ibunya,Makku! Jelaslah kalau begitu, watak itu ceritanya serupa dengan cerita Si Tanggang tetapi orangnya lain.

Yang pasti, memang ada sebuah bukit kecil yang kalau diteliti rupanya memang kelihatan seperti sebuah kapal yang terbalik. Dan ada kesan-kesan bentuk rupa batu-batan yang menandakan kawasan itu pernah menjadi laut suatu masa dahulu. Mengikut cerita orang tua-tua, di situ juga pernah terdapat sebuah pintu gua di mana penduduk kampung boleh keluar-masuk dan meminjam pinggan-mangkuk daripada alam bunian untuk digunakan dalam majlis keramaian. Tetapi pintu gua itu telah lama terkambus, sejak seorang penduduk kampung melanggar syarat kerana tidak memulangkan pinggan-mangkuk yang dipinjam.