Isteri dapat kerja kerajaan, suami rela duduk di rumah jaga anak

JAKARTA – Seorang lelaki dari Sulawesi Tengah menjadi tular selepas menceritakan kisahnya sebagai seorang bapa yang menjaga anak di rumah sementara isterinya keluar bekerja, lapor laman Wolipop.

Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok, Dedi Rosalam berkata, dia sudah menganggur sejak 2019 selepas gagal melepasi ujian bagi menjadi kakitangan kerajaan.

“Saya dan isteri sama-sama mengambil ujian tersebut, namun hanya dia sahaja yang terpilih.

“Meskipun begitu, isteri tetap memilih untuk berkahwin dengan saya. Saya mempunyai diploma dalam jurusan teknik komputer namun belum ada rezeki untuk tawaran bekerja. Jadi, saya memilih untuk duduk di rumah dan menjaga anak,” tulis Dedi.

Tambah Dedi, ada masanya dia berasa malu dengan jiran tetangga setiap kali isterinya keluar bekerja sedangkan dia berada di rumah menjaga anak.

Namun begitu, isteri dan keluarga mentuanya sangat memahami keadaan Dedi.

Oleh sebab itu, dia cuba mencari pendapatan sampingan dengan menjadi pencipta kandungan media sosial.

“Selamat bekerja isteriku, maafkan suamimu yang masih menganggur ini,” kata Dedi dalam satu paparan video.

sumber; Agensi