Isteri hamil bahagia, suami pula derita alahan teruk sampaikan buat ujian Covid-19… tapi sebenarnya ada kisah sedih dilalui pasangan ini

RASA bahagia bila mengandung tak ada apa-apa alahan.”

Begitulah kata-kata seorang wanita apabila suaminya yang mual ketika berada di dalam kereta.

Menerusi video yang dimuat naik oleh wanita berkenaan, mereka terpaksa berhenti di tepi jalan kerana si suami mengalami alahan teruk.

Nur Fatehah Mohammad Nashir, berkata, kejadian itu dirakam ketika dia dan suaminya, Muhammad Bazrie Basri, 27, baru sahaja pulang dari temu janji bersama doktor pakar di Hopsital Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Ketika itu wanita berusia 29 tahun ini sedang hamil anak pertama mereka dan dia sendiri mempunyai sepasang cahaya mata hasil perkahwinan pertama, manakala suaminya pula memiliki dua puteri hasil pernikahan terdahulu.

Waktu itu kami dalam perjalanan nak balik ke rumah, tetapi terpaksa berhenti separuh jalan kerana suami dah tak tahan nak muntah.

Kalau nak ikutkan, dah tiga kali dia muntah sebelum kami sampai ke rumah. Jadi saya terpaksa la bertukar tempat duduk, saya yang drive kereta.

Usia kandungan saya dah nak masuk tiga bulan ketika itu dan dijangka melahirkan bayi pada April tahun depan. Tetapi terpaksa lakukan pengguguran kerana doktor pakar mengesan yang kandungan di luar rahim.

“Doktor pakar menasihatkan lebih baik kandungan itu digugurkan kerana ia risiko tinggi, lagipun saya dah mula bleeding ketika itu. Sedih juga masa dapat tahu, sebab suami dah ada dua anak perempuan daripada perkahwinan sebelum ini dan memang teringin sangat nak anak lelaki,” katanya yang berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan dan kini menetap di Penampang, Sabah.

Mesra disapa Efa, dia yang tidak mengalami sebarang alahan berasa pelik apabila melihat suaminya yang tiba-tiba menunjukkan simptom ibu mengandung.

Tambahnya lagi, Bazrie meminta dia untuk memotong buah mangga muda pada jam 12 tengah malam hanya kerana mahu makan sesuatu yang masam.

Mula-mula suami dapat alahan tu saya tak berapa ambil peduli sangat sebab asal naik kereta je mesti mengadu pening. Ingatkan biasa-biasa je, selang berapa hari nampak pelik sebab suami kuat sangat makan makanan masam-masam.

“Dia sampai suruh saya potongkan buah mangga muda waktu tengah malam. Kemudian baru perasan yang period saya lewat seminggu, esoknya saya beli kit ujian kehamilan nampak dua line.

Macam-macam soalan Bazrie tanya, macam ini ke rasa perempuan mengandung? Saya iyakan sahaja sebab sebelum ni memang teruk juga alahan yang saya lalui masa mengandung anak pertama,” katanya yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga buat kali kedua.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, suaminya juga alami alahan teruk pada bulu kucing sewaktu kandungannya memasuki usia lima minggu.

Jelasnya lagi, mereka sehingga terpaksa menumpang di rumah ibu saudara Bazrie yang terletak di Kampung Inanam, Kota Kinabalu selama sebulan.

Suami saya sukakan kucing dan kami ada bela enam ekor di rumah. Tapi bila saya mengandung alahannya teruk sampai sesak nafas macam orang kena asma.

Suami sampai pergi ke klinik untuk buat ujian saringan Covid-19 sebab ingatkan dia dijangkiti virus tersebut, tapi keputusannya negatif. Rupa-rupanya alahan pada bulu kucing, jadi kami pun terkpasa la tumpang rumah ibu saudaranya.

Benda ni akan berjangkit tau, mungkin kita yang perempuan ni tak kena tapi tempias pada suami.

“Cuma saya je la yang ulang alik untuk bagi makanan dan bersihkan tempat tinggal kucing,” ujarnya yang bekerja di Resort Sutra Harbour di Kota Kinabalu.

Dia menasihati wanita lain yang sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat supaya jangan berputus asa dan sentiasa menjaga kesihatan.

Efa juga mengingatkan bahawa golongan suami juga berpotensi untuk mendapat alahan sewaktu pasangan mereka hamil.

“Pertama sekali kena sabar kalau suami minta apa-apa, turutkan sahaja kehendak mereka

“Bimbing juga pemikirkan suami kerana mereka akan rasa tertekan seperti mana kita pun kadang-kadang ada angin waktu mengandung.

Benda ni akan berjangkit tau, mungkin kita yang perempuan ni tak kena tapi tempias pada suami,” nasihatnya.

Untuk rekod, rakaman video berdurasi 24 saat itu meraih lebih 400,000 tontonan dan mencuri perhatian ramai di aplikasi TikTok.