‘Jangan pegang tanpa alas,’ peniaga sedih kedai makan kena sihir syiling

 AKIBAT memiliki perniagaan yang maju dan dikenali ramai, seorang peniaga mendakwah mengalami kerugian gara-gara disabotaj hasil perbuatan sihir di premis perniagaannya.

Difahamkan, gerai niaganya yang terletak di Seberang Perai, Pulau Pinang telah disihir selepas beberapa bukti berupa duit syiling ditemui di premis perniagaan dan hasil jualan juga turut berkurang kerana tiada pelanggan yang berkunjung.

Hairan dengan situasi yang melanda dirinya, pemilik akaun toklee_granpader ini kongsikan keluhannya menerusi rakaman video yang tular di laman TikTok.

Geram dengan nasib malang yang menimpa, dia turut berkongsi bahawa ia merupakan kali kedua gerainya disihir di mana sebelum ini beberapa barangan mistik seperti kain kuning, jarum dan batu ditemui tertanam di tapak premisnya suatu ketika dahulu.

“Dulu saya pernah jumpa kain kuning, jarum, batu tertanam dekat tengah tapak niaga saya ni, betul saya tak tipu.

“Atas meja niaga saya pula pernah dilempar najis manusia dan penuh atas meja tahi orang, saya diamkan diri selama ni tapi makin kurang ajar pula jadinya,” katanya.

Tangkap layar menunjukkan ruang meja niaga yang pernah dilempar tahi oleh individu yang tidak diketahui suatu ketika dahulu.

Turut berpesan kepada orang ramai mengenai pantang larang sihir, dia berkata bahawa sekiranya berada di situasi yang sama, syiling itu tidak boleh disentuh tanpa sebarang kain alas.

“Kalau korang ada jumpa syiling bertabur keliling kedai macam ni, jangan sentuh dengan tangan kosong.

“Sebaiknya gunakan kain sebagai alas dan baca ayat kursi atau Al-Fatihah kalau taknak kena apa-apa yang lebih buruk,” jelasnya.

Majoriti turut menghubungi pakar di pusat rawatan Darussyifa Pulau Pinang, Ustaz Mohd Khairul Rizan, 45, untuk mengulas lanjut tentang gangguan sihir itu.

Merupakan setiausaha di pusat Darussyifa berkenaan, beliau berpendapat bahawa kejadian seperti itu boleh disengajakan ataupun si penghantar memang memiliki niat jahat pada seseorang individu itu.

“Situasi seperti ini boleh terbahagi kepada dua, mungkin ada pihak yang sengaja ingin menakutkan mangsa ataupun mereka memang ada niat tidak baik untuk hantar sihir dan sebagainya.

“Jika memang betul sihir yang dihantar, maka sesebuah premis perniagaan itu akan dikaburi oleh ilmu hitam dan orang ramai tidak akan nampak kedai itu.

“Namun sekiranya sihir yang dibuat ditujukan pada si pemilik perniagaan, kesihatan dia akan terjejas dan mungkin akan mengalami gangguan daripada jin ataupun syaitan,” jelasnya. — Majoriti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *