Jangan Takut Jadi ‘Single’, Tapi Takutlah Jika Berada Dalam Perhubungan Yang Sia-Sia

Apabila sedang bersembang dengan ramai kenalan berkenaan dengan topik ‘single’, kebanyakan daripada mereka meletakkan beban bahawa orang yang berada dalam dunia ‘single’ ini pastinya seorang yang berada dalam zon kesedihan dan kelihatan simpati. Seakan ‘single’ ini satu ruang yang amat mengerikan untuk dilalui oleh kebanyakan orang pada hari ini.

‘Single’ umpama satu bentuk hukuman seperti terkena penyakit bahaya atau penyakit seumpamanya yang sangat menakutkan dan menyedihkan. Walhal, persepsi sebegini tidak kukuh sama sekali. Banyak contoh mudah yang boleh didapati di luar sana yang menunjukkan bahawa dunia ‘single’ ini bukanlah sebagaimana yang sering ditafsirkan.

Ramai sahaja yang menggunakan ruang sebagai ‘single’ untuk memenuhi keperluan dan potensi diri masing-masing. Apabila kita berada dalam hubungan yang tidak sihat dan penuh toksik, kita banyak mengeluarkan tenaga, emosi dan perhatian untuk si dia. Kita banyak mencuri masa-masa yang ada hanya semata-mata untuk memastikan si dia berada dalam keadaan baik dan dalam perhatian kita sentiasa.

Kalau kita menghabiskan masa untuk orang yang sah atau orang yang tepat itu tidak mengapalah kerana pelaburan sebegini akan mendatangkan hasil yang baik, tetapi kita berbicara tentang orang yang belum nyata berada dalam hidup kita. Pernah saya lihat dalam satu video soal jawab antara love coach, Matthew Hussey dengan peserta wanita di dalam satu program live session beliau.

Wanita tersebut mengadukan pada Matt bahawa dia sudah menghabiskan tiga tahun bersama dengan lelaki yang salah. Dipermudahkan lagi cerita, wanita itu memberitahu selama dia bersama dengan lelaki itu, dialah orang yang paling ‘try hard’ sementara lelaki itu selalu memberi respon dengan cara yang negatif dan kosong.

Lalu Matt pun bertanya kepada wanita tersebut, mengapa dia susah untuk melepaskan lelaki itu walaupun dia sendiri akui yang diri dia tersakiti dan sering terganggu emosinya. Jawab wanita itu; “Saya takut untuk bersendiri” Saya yakin dan pasti bukan hanya wanita itu sahaja yang mengalami perkara ini. Pasti ada ramai di luar sana termasuk kenalan saya sendiri pun menghidap penyakit yang lebih kurang sama ini.

Ada yang sanggup dikasari, dihina dan diganggu emosi saban hari kerana pada mereka benda yang paling menakutkan ialah bersendirian. Seakan-akan bersendirian ini satu musibah yang tidak patut dilalui. Kelmarin saya ada terbaca salah satu bab dalam buku yang ditulis oleh tokoh motivasi self-help terkenal iaitu Richard Templar yang berjudul The Rules Of Love.

Diselitkan dalam buku itu bab ‘You won’t be happy with a partner until you can be happy on your own’ (kamu tidak boleh berbahagia dengan pasangan selagi kamu sendiri tidak bahagia dengan diri kamu sendiri). Dalam bab tersebut pun lebih kurang sama kesnya iaitu seorang perempuan yang takut untuk bersendirian, maka sebab itu dia bergerak dari satu lelaki kepada lelaki yang baru apabila putus hubungan.

Apa yang kita perlu tahu ialah kebahagiaan itu ada dalam dada kita. Ramai tidak menyedari hakikat ini kerana dia belum kenal dengan dirinya sendiri. Apabila dia belum kenal diri sendiri, dia tidak tahu dengan cara bagaimanakah dia hendak membahagiakan dirinya. Contohnya kalau kita tidak kenal dengan seseorang, bagaimana untuk kita tahu apa yang disukainya, bukan?

Adakah dia suka makan ikan? Dia bolehkah layan animasi? Persoalan ini yang akan terpancar dari fikiran kita. Begitulah perumpamaannya jika kita belum kenal diri kita ini siapa. Kita suka apa, apakah matlamat kita, apakah hala tuju kita dalam jangka masa pendek dan panjang, apakah limitasi kita?

Apakah kelemahan kita, apa jalan hidup yang kita hendak pilih dan lalui sampai kita mati? Kesemua persoalan ini patut ditanyakan pada diri kita semenjak awal lagi. Apabila kita sudah mendapat jawapan yang konkrit dan jelas daripada persoalan-persoalan ini, maka tiada masalah langsung kalau kita ini ‘single‘ atau berpunya. Kerana diri kita sahaja sudah cukup bahagia.

Kita tidak boleh bahagia jika hanya bergantung kepada faktor luaran- mengharapkan orang membahagiakan kita namun kita sendiri keliru dan termenung tentang diri sendiri. Bahagiakah begitu? Firman Allah;

قُلْ بِفَضْلِ اللهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah dan rahmat-Nya itu dari apa yang mereka kumpulkan.” – (Surah Yunus 10: 58)

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam karyanya Miftah Dar Sa’adah mengungkapkan tanda kebahagiaan pada diri seseorang itu ada tiga iaitu:- #1- Bersyukur dengan nikmat yang diberikan. #2- Sabar ketika mendapat ujian dari Allah. #3- Bertaubat segera jika ada melakukan dosa. Selagi mana kita jelas dengan matlamat hidup kita tentulah kita dapat meraih kebahagiaan sebenar walaupun status kita masih bujang. Berhentilah dari meletakkan sangkaan meleset bahawa orang yang ‘single’ harus berasa sedih kerana keseorangan.