MELAKA: Kegagalan membabitkan diri dalam pelbagai bidang pertanian termasuk menanam sayur-sayuran, tidak melemahkan semangat seorang pesara tentera, Samsudin Mansor,68, untuk mengusahakan tanaman rebung madu.
Memiliki tanah seluas 1.2 hektar di Kampung Mentagau, Sungai Udang, beliau bersama keluarganya mengusahakan tanaman berkenaan sejak tujuh tahun lalu dan kini gembira apabila semua pokok buluh mereka sudah mengeluarkan hasil.
“Sebenarnya saya tiada ilmu khusus dalam penanaman sayur-sayuran, hanya bersandarkan kepada pengalaman saja. Selepas bersara, saya mengambil keputusan berkebun, tetapi menghadapi masalah dengan sistem saliran dan air, selain risiko sayur-sayuran rosak serta sukar dipasarkan.
“Selepas melihat tanaman rebung madu berpotensi menjana pendapatan, saya menceburi bidang baharu itu dan sehingga kini memiliki lebih 300 rumpun buluh yang sedia mengeluarkan rebung madu untuk jualan,” katanya kepada BH Plus.
Samsudin berkata, ketika pokok buluh berusia empat tahun, ia mula mengeluarkan hasil, namun beliau tidak mahu tergesa-gesa meraih hasilnya, sebaliknya mahu ia membiak.
“Bagaimanapun, saya ada menjualnya sedikit bagi memenuhi permintaan ketika itu pada harga antara RM4 hingga RM6 sekilogram, namun tidak terlalu kerap kerana ia boleh membantutkan pertumbuhannya.
“Apabila pokok berusia enam tahun dan sihat menghijau, barulah saya dan isteri, Razmi Mat Bakar, 66, memungut hasil.
“Alhamdulillah, pendapatan hasil jualan rebung madu agak lumayan melebihi gaji diperoleh ketika bekerja dulu. Ia kini menjadi punca pendapatan bagi menampung kehidupan harian dan membiayai pengajian anak di institusi pengajian tinggi,” katanya.
“Beberapa agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) membeli buluh untuk dijadikan tiang bendera majlis keraian atau kegunaan program sambutan hari keluarga.
“Ada juga penduduk tempatan datang membeli buluh untuk dijadikan tiang sokongan pokok baharu dan sayur-sayuran,” katanya.
Samsudin berkata, lima anaknya yang sudah bekerja kini turut membantu urusan di kebun termasuk mengutip hasil rebung madu.
“Anak -anak saya turut membantu mengupas kulit rebung, memotong, mencincang dan membungkus dengan pelbagai bentuk untuk kelihatan lebih menarik sebelum dipasarkan,” katanya.
Katanya, rebung madu jeruk antara paling laris kerana rasanya enak dan boleh dijadikan ulam ketika makan bersama nasi panas.
“Rebung jeruk ini lebih enak rasanya jika dimasak seperti lemak cili padi Negeri Sembilan yang dicampur daging salai atau ayam salai,” katanya.
Sementara itu, Razmi berkata, ramai tidak mengetahui rebung dikategorikan sebagai sayuran yang penuh nutrisi, rendah kalori, sumber protein yang kaya serat dan sumber vitamin serta mineral.
sumber;metro