RAKAMAN video menunjukkan pertengkaran di antara seorang lelaki warga emas dengan peniaga di sebuah pasar pagi mendapat perhatian ramai di TikTok.
Menerusi rakaman yang dimuat naik oleh anaknya, bapanya kelihatan seperti mahu beredar dari kawasan tersebut tetapi masih berada dalam keadaan marah.
Nuruliliani Ibrahim, 35, berkata dia terjumpa bapanya, Ibrahim Ali, 60, di pasar pagi Jaya Gading, Kuantan.
Kebetulan pada masa itu Nuruliliani berada di kawasan perumahan berhampiran pasar tersebut kerana mahu berjumpa dengan tuan rumah yang mahu menyewakan bilik untuk bapanya.
“Saya jumpa abah di pasar pagi, dua hari selepas dia keluar rumah sebab mengamuk kerana perselisihan faham. Kebetulan saya tengah mencari bilik sewa untuk memudahkan abah pergi ke kawasan yang dia selalu jalan-jalan.
Di pasar pagi tu, abah ambil sebiji buah daripada orang yang berniaga di situ, kemudian dia baling ke arah tempat berniaga. Peniaga itu pun marah la sebab abah buat macam tu, tapi ada minta maaf lepas dah tahu keadaan sebenar abah.
Lili sentiasa memberikan yang terbaik apabila melibatkan kebajikan bapanya.
Tiada kecederaan di kepalanya cuma ia sengaja dipakai, penampilan abah ni berbagai watak dari segi pemakaiannya. Tangan abah memang berbalut sebelum kejadian dalam video itu lagi… katanya dia terjatuh dan sudah ke klinik untuk ambil ubat,” katanya yang menetap bersama keluarganya di Kem Tentera Darat, Kem Batu 10, Kuantan, Pahang.
Mesra disapa Lili, katanya, sebelum ini dia dan adik beradiknya yang menetap di Selangor dan Sabah bergilir-gilir menjaga si bapa selepas bercerai dengan ibunya, Normahayati Pakri, 60, pada tahun 2000.
Namun disebabkan emosinya yang tidak menentu, dia mengambil alih sepenuhnya tugas menjaga bapanya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Saya jaga abah dari tahun 2018 sehingga sekarang, susah sebenarnya nak faham kenapa perangai dia berubah. Penyakit abah datang macam orang perempuan datang bulan, ada kalanya mengamuk walaupun sekecil-kecil masalah.
“Contoh, kadang-kadang dia boleh mengamuk waktu tengah baca surat khabar atau kalau kedai makan lambat hantar minuman pun dia akan marah. Apa yang saya tahu, doktor psikiatri cuma beritahu kami yang abah menghidap dimentia.
Abah pernah cakap saya ni anak derhaka hanya disebabkan perselisihan faham, tapi saya tetap menjaganya dengan baik. Dia pun lebih suka tinggal dengan saya sebenarnya,” katanya sambil menambah, ibunya berkahwin sekali lagi ketika dia berusia 14 tahun dan menetap di Kuala Lipis Pahang.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini bukan sahaja menggalas tanggungjawab menjaga bapanya, malah dia juga bertugas sebagai tentera dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Dia mengakui agak sukar dan mencabar baginya jika menerima panggilan daripada orang ramai meminta untuk mengambil bapanya yang sudah berjalan jauh ke kawasan lain.
Memandangkan saya bekerja sebagai tentera dan mengendalikan bisnes online, susah juga la kalau nak pantau abah sepenuh masa.
Abah pernah pecahkan mangga pintu rumah kerana dia nak keluar bebas. Saya memang risau setiap kali kalau abah keluar, kadang-kadang jauh dia berjalan sampai lupa jalan balik.
Minta tolong sangat jangan mudah menghukum keluarga yang kondisi ibu bapa mereka sama macam abah saya
Setiap hari pasti ada yang telefon suruh ambil abah bawa balik rumah. Tapi kadang-kadang saya tengah kerja, jadi susah sedikit la nak keluar,” katanya.
Menurut Lili, keluarganya sudah cuba sehabis baik untuk menyediakan segala keperluan untuk bapa mereka.
Tetapi masyarakat tetap memandang serong terhadap mereka sekeluarga kerana bapanya selalu dilihat merayau seorang diri di tempat awam..
“Ramai yang kecam keluarga kami sebab mereka anggap kami abaikan abah, tak dapat nak bantu dan terpaksa biarkan dia bebas di luar. Macam-macam orang cakap bila mereka lihat abah tak pakai baju.
Kami sekeluarga dah buat yang terbaik, termasuklah memberi rawatan dan perbelanjaan abah. Minta tolong sangat jangan mudah menghukum keluarga yang kondisi ibu bapa mereka sama macam abah saya.
Segala baik atau buruk ibu bapa kita, mereka adalah kunci segala-galanya untuk anak-anak. Hargai dan jagalah ibu bapa selagi mereka selagi masih ada,” katanya.