Kisah Pak Nasir – setiap hari kibar Jalur Gemilang, sejak 21 tahun lalu

Sudah menjadi kebiasaan sesetengah rakyat Malaysia untuk menghias halaman rumah dan kenderaan dengan Jalur Gemilang menjelang hari kemerdekaan pada 31 Ogos.

Bagaimanapun, berbeza pula sikap yang ditunjukkan seorang bekas askar wataniah yang mengekalkan hiasan Jalur Gemilang pada rumah dan kenderaannya pada setiap masa, sejak 21 tahun yang lalu.

Mohd Nasir Mustapha, 62, berkata, hiasan jalur gemilang yang dipasang itu dimulakannya sejak tahun 2000 lalu.

Saya buat perkara ini bukan menjelang merdeka sahaja tetapi setiap masa.

Malah van dan rumah saya berada dalam keadaan sebegini sejak dulu lagi dan mungkin apabila ada yang sponsor saya akan tukar hiasan ini dengan yang baru,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 11, Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Menurutnya, 99 peratus Jalur Gemilang yang digunakannya dikutip daripada pelbagai tempat buangan, seperti di jalan raya, dalam parit serta majlis-majlis politik.

“Kalau saya pergi ke suatu tempat dan melihat jalur gemilang yang telah dibuang, saya akan kutip dan pernah saya kutip bendera di dalam parit ataupun tempat-tempat pembuangan sampah.

Selalu juga saya kutip bendera di majlis-majlis kedatangan orang politik. Mereka kibarkan bendera semasa majlis berlangsung sahaja tetapi setelah itu, banyak bendera yang dibuang berserakan begitu sahaja.

Daripada dipijak dan dibuang begitu sahaja, baik saya kutip. Saya tidak sanggup melihat bendera negara saya diperlakukan sedemikian,” katanya.

Digelar gila

Apabila ditanya berkenaan tanggapan masyarakat terhadapnya Nasir berkata dia pernah dilabel gila.

“Saya ingat lagi pada tahun 2003 yang lalu, kawan saya sendiri menggelarkan saya sebagai orang gila kerana menghias van dan rumah saya dengan banyak bendera tetapi setelah itu dia minta juga bendera dengan saya.

“Pernah juga, saya memakai pakaian yang direka khas menggunakan bendera ke pasar raya pada tanggal 31 Ogos sempena hari kemerdekaan tetapi terdapat individu yang melontarkan perkataan gila kepada saya di khalayak ramai dan saya berasa sangat sedih dengan kejadian tersebut.

“Bagi saya, hari kemerdekaan ini macam hari rayalah yang perlu disambut dengan meriah,” ujar Nasir.

Justeru, Nasir menyeru kepada anak-anak muda agar sayang akan bendera negara sendiri kerana itu yang menunjukkan rasa sayang terhadap negara.

“Pak cik seru kepada anak-anak muda supaya sayangkan Jalur Gemilang dan kutip sekiranya terjumpa di mana-mana kerana kalau bukan kita siapa lagi,” katanya.

 

 

sumber..agensi