KETIKA harga kebanyakan barang mentah semakin meningkat, ramai isi rumah mula terkesan termasuk golongan peniaga yang turut terkena tempiasnya.
Justeru bagi menampung modal yang dikeluarkan untuk membeli barang mentah serta kos operasi, hendak tak hendak peniaga terpaksa menaikkan harga makanan meskipun bimbang dengan penerimaan pelanggan.
seorang pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati gara-gara pemilik sebuah warung makanan mengenakan cas terhadap kuah kari ikan yang diletakkan di dalam nasi bungkus.
Menurut pelanggan berkenaan, peniaga tidak sepatutnya mengenakan cas kerana dia hanya mengambil kuah dan bukannya isi ikan serta sayur di dalam hidangan kari tersebut.
Video tersebut mencetuskan reaksi yang pelbagai daripada netizen, namun rata-ratanya menyebelahi peniaga berkenaan kerana memahami situasi ketika ini di mana harga barang mentah semakin naik.
gadis bernama Fara Yusoff yang juga anak kepada pemilik warung berkenaan ketika menceritakan situasi sebenar berkata, pelanggan lelaki tersebut tidak berpuas hati kerana dikenakan cas RM1 untuk sebungkus kuah kari ikan.
“Insiden tersebut berlaku pada petang Isnin baru-baru ini. Pelanggan itu datang ke warung kami beli nasi putih sebungkus extra, kuah kari ikan dalam setengah plastik, serta sambal tauhu dua ketul.
“Mak saya yang jadi cashier waktu tu. Semua sekali termasuk kuah adalah RM4. Dia sempat tanya harga setiap satu, kemudian dia pergi. Sepuluh minit kemudian, dia datang lagi.
“Dia beli menu yang sama tapi dia campur semua termasuk kuah kari banjir dalam bungkusan nasi. Masa tu saya pula jadi cashier. Dia tanya setiap satu harga makanannya. Saya beritahu kuah 50 sen, sebab tak sebanyak yang dia bungkus kali pertama tadi.
“Kali ini dia tanya kenapa kuah dalam nasi pun cas, sambil turut membuat rakaman menggunakan telefon bimbit,” ujar gadis berusia 19 tahun ini.
Menurut Fara, ibunya cuba menerangkan rasional di sebalik tindakan warung mereka yang terletak di Kepala Batas, Pulau Pinang mengenakan cas untuk kuah kari ikan.
“Mak terangkan dekat dia. Kami nak jual mahal tak sampai hati. Kalau ikutkan, ada kedai lain yang cas lebih dari RM1 sebab bungkus setengah plastik.
“Kuah kari tu bukan air kosong cair tapi menggunakan santan, rempah ratus, bawang, minyak masak dan bahan lain. Sekarang barang pun harga dah naik tapi kami hanya cas sikit saja.
“Nasi kosong dekat tempat lain sekarang sudah RM1.50, tapi kami masih kekalkan harga RM1.00, kalau ambil nasi extra barulah cas RM1.50. Nasi extra yang dia ambil tu dua orang boleh makan.
“Dalam lebih kurang 20 minit juga berlaku pertikaman lidah sebelum dia berlalu,” ujar Fara yang menjadi pembantu di warung ibu bapanya secara sepenuh masa.
Tambah gadis ini lagi, kejadian membabitkan pelanggan yang sama bukanlah kali pertama dihadapi mereka.
Kadang ada yang tak nampak apa yang peniaga lalui, mereka tak tahu semua perlukan modal dan tenaga. Mereka nampak lauk siap sahaja.
“Sebelum ini dia ada complain tapi kami diam sahaja. Hari Isnin baru-baru ini dia datang dan rakam, malah ugut nak viralkan seolah-olah nak jatuhkan kami. Kami ini hanya warung tepi jalan.
“Tapi kami anggap inilah asam garam dunia berniaga. Customer lain tak pernah marah pun, mereka faham memasak kena pakai modal.
“Kadang ada yang tak nampak apa yang peniaga lalui, mereka tak tahu semua perlukan modal dan tenaga. Mereka nampak lauk siap sahaja,” ujar Fara sambil menambah, warung ibu bapanya itu beroperasi dari pukul 5 petang sehingga malam.
komen kuah
Antara komen netizen pada perkongsian video yang dimuat naik oleh Fara.
Menurutnya lagi, ibu bapa serta neneknya sudah berniaga di lokasi berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu dan dikenali penduduk setempat.
“Saya muat naik video di TikTok sebab nak jelaskan perkara sebenar. Ramai juga yang memahami situasi dan menyebelahi kami.
“Kebanyakannya faham kalau peniaga cas harga. Kami nak dapat balik modal pun payah. Kalau tak puas hati, boleh tanya elok-elok tak perlu baut kecoh, atau mungkin boleh ke tempat lain yang menepati cita rasa,” katanya lagi.
Sehingga kini video yang dimuat naik oleh Fara di aplikasi TikTok meraih melebihi 1.4 juta jumlah tontonan.
sumber ;mstar