KUASA TUHAN, PROSES PEMBENTUKAN JANIN MENAKJUBKAN! FAHAMI BAGAIMANA IA BERLAKU

Perjalanan benih lelaki ke telur wanita merupakan satu fenomena yang unik dan mengasyikkan. Ketahuilah tentang kejadian “buah cinta” anda berdua ini.

SEPANJANG kehamilan, bayi akan berkembang daripada satu sel sehingga menjadi janin yang kelihatan seperti bentuk manusia dan seterusnya lahir sebagai bayi yang comel dan sihat. Banyak perkara menarik yang berlaku sepanjang minggu-minggu ini. Ketahui fakta-fakta menarik tentang minggu-minggu pertama kehamilan anda.

SPERMA
Pengeluaran sperma atau air mani ditentukan oleh testis. Jika testis berukuran baik dan sempurna, setiap pancutan air mani biasanya berjumlah 100 juta benih. Malah ada juga lelaki yang boleh memancut lebih daripada 150 juta benih. Walau bagaimanapun, jumlah minimum bagi setiap pancutan ialah 60 juta. Jika air mani yang dipancut kurang daripada 40 juta, ini bererti lelaki terbabit menghadapi masalah kesuburan.

OVUM
Ovum atau telur ialah sel yang paling besar di dalam tubuh wanita. Bahagian berkenaan kelihatan seperti bulan penuh yang cantik bersinar dan tidak banyak bergerak seperti sperma. Walau bagaimanapun, pergerakan ovum di dalam tiub Fallopio adalah disebabkan oleh pengecutan dan pengenduran otot-otot tiub Fallopio.

KITAR HAID
Kitaran haid merupakan edaran perkembangan dan kemerosotan dinding rahim yang berkaitan dengan perkembangan ovum. Kitaran haid secara normalnya mengambil masa lebih kurang 28 hari. Hari pertama kitaran haid bermula pada hari pertama pengeluaran darah haid. Darah haid ialah campuran darah, ovum mati, serpihan sel-sel dinding rahim dan mukus yang keluar daripada faraj. Campuran ini keluar kerana dinding rahim merosot akibat ovum yang tidak disenyawakan. Haid akan berhenti biasanya dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.

Selepas haid berhenti, pembinaan semula dinding rahim ini bermula (biasanya pada hari ke-7 hingga ke-10). Selepas itu, dinding rahim mula menebal. Hal ini biasanya berlaku pada hari ke-11 hingga hari ke-13. Di antara hari ke-11 hingga ke-18 (tempoh pengovulan), ovari akan membebaskan ovum ke dalam tiub Fallopio. Biasanya, pembebasan ini berlaku pada hari ke-14. Hanya satu ovum sahaja dibebaskan semasa pengovulan. Ovum ini akan digerakkan ke dinding rahim oleh pengecutan dan pengenduran otot-otot di dalam tiub Fallopio.

Semasa pengovulan, dinding rahim akan menjadi tebal, berspan dan diperkaya dengan darah sebagai persediaan menerima ovum. Tempoh antara hari ke-11 hingga hari ke-18 dikenali sebagai waktu subur. Anda berkemungkinan besar hamil sekiranya menerima sperma pada waktu subur ini. Jika ovum disenyawakan oleh sperma, kitar haid akan terhenti sementara (tiada lagi ovum dibebaskan oleh ovari). Sebaliknya, jika tiada persenyawaan lapisan darah pada dinding rahim akan mula pecah perlahan-lahan. Haid akan keluar semula pada hari ke-28.

SEBELUM PERSENYAWAAN
Dua minggu sebelum kitaran haid, dua jenis hormon iaitu follicle stimulating hormone (FSH) dan luteining hormone (LH) dibebaskan ke dalam edaran darah. Salah satu hormon tersebut merangsang penghasilan ovum manakala satu hormon lagi merangsang endometrium (lapisan rahim) bagi membolehkannya menerima ovum yang bakal disenyawakan.

Dua minggu selepas berakhirnya kitaran haid, tugas hormon pertama selesai dan telur matang dikeluarkan daripada salah satu ovari. Pembenihan berlaku jika sperma disenyawakan dalam ovum tadi. Keadaan ini berlaku di dalam tiub Fallopio yang menghubungkan ovari ke rahim. Ovum yang telah disenyawakan akan melengkapkan perjalanannya ke rahim apabila tertanam ke dalam lapisan rahim yang tebal.

Setelah proses berlaku, serviks akan melebar secara semula jadi dan menjadi lebih lembut. Dalam pada itu, mukus tebal akan melindungi rahim daripada sebarang jangkitan yang boleh mempengaruhi perkembangan janin. Selepas dua minggu, jika tiada persenyawaan berlaku, lapisan dinding rahim akan terburai dan darah haid akan keluar dengan sendirinya.

PENGOVULAN
Sekitar hari ke-14 kitaran haid anda, salah satu daripada ovari akan menghasilkan telur matang untuk disenyawakan. Telur tersebut akan “ditangkap” oleh jejari pada hujung tiub Fallopio dan ditarik ke dalam saluran tersebut. Telur tersebut hidup selama 24 jam sahaja. Sekiranya tidak disenyawakan, telur tersebut akan keluar daripada faraj bersama-sama selaput rahim semasa kedatangan haid pada kitaran haid berikutnya.

PERSENYAWAAN
Sperma mengandungi bahan yang boleh melarutkan selaput larutan telur. Oleh yang demikian, larutan tersebut dapat membantu sperma menembusi telur tersebut. Sebaik sahaja sperma berjaya memasuki telur, tiada sperma lain yang dapat menembusinya lagi. Ekor sperma akan lenyap dan kepalanya mula membesar. Sperma kemudiannya bergabung dengan telur untuk membentuk satu sel.

PEMBAHAGIAN SEL
Setelah berlakunya persenyawaan, sel mula terbahagi. Sel tersebut akan membahagi menjadi lebih banyak sel sepanjang perjalanan melalui saluran tiub Fallopio.

PEMBENTUKAN BLASTOSIS
Telur berkenaan akhirnya tiba di rongga rahim kira-kira hari ke-4 selepas persenyawaan. Di ketika ini, telur tersebut berkembang menjadi bebola yang mempunyai 100 sel. Bebola ini dikenali sebagai blastosis yang mempunyai dua lapisan: bahagian luarnya dikenali sebagai plasenta manakala bahagian dalamnya membentuk embrio yang akhirnya berkembang menjadi bayi.

Sel ini berongga dan mengandungi bendalir di bahagian tengahnya. Namun yang demikian, sel ini masih terlalu kecil untuk dilihat oleh mata kasar. Beberapa hari berikutnya, telur ini akan terapung-apung di dalam rongga rahim.

IMPLANTASI
Di sekitar hujung minggu 3, telur yang telah disenyawakan sudah tertanam di dalam lapisan rahim yang lembut dan tebal. Keadaan ini dikenali sebagai implantasi. Apabila telur melekat dengan selamat pada lapisan rahim, kehamilan menjadi sempurna. Jejari berupa span daripada sel-sel luar embrio akan mula tertanam di dalam lapisan tersebut untuk dihubungkan dengan saluran darah ibu. Kemudiannya, plasenta mula terbentuk. Sebahagian daripada sel itu turut berkembang menjadi tali pusat dan membran yang melindungi kandungan
EMBRIO
Kandungan anda yang dikenali sebagai embrio terhasil daripada tiga lapisan tisu yang setiap satunya terbentuk secara berasingan. Lapisan luar membentuk sebagai kulit dan saraf. Bahagian tengahnya pula akan membentuk tulang, tulang rawan, otot-otot, buah pinggang dan organ seks.

Manakala sistem penghadaman dan pernafasan terbentuk melalui bahagian yang selebihnya iaitu bahagian dalam sel. Di dalam rahim, embrio mengandungi kantung amniotik. Kantung berkenaan mengandungi cecair yang akan membolehkan janin terapung-apung dan hidup di dalamnya sehinggalah tiba masanya hari kelahiran nanti. Selain daripada itu, cecair amniotik melindungi janin daripada sebarang tekanan luaran.

PERGERAKAN SPERMA
Sewaktu puncak syahwat, lelaki mungkin memancutkan di antara 200 hingga 400 juta sperma ke dalam faraj wanita. Akan tetapi kebanyakan sperma melimpah keluar semula ataupun hilang sepanjang perjalanan sebelum sampai ke telur. Namun, bagi yang bernasib baik, sperma berenang melalui lendir yang dihasilkan oleh serviks (leher rahim).

Serviks tersebut menjadi nipis dan meregang semasa pengovulan. Sekiranya, telur belum dibebaskan, sperma tersebut hanya boleh hidup dalam tempoh di dalam saluran tiub Fallopio untuk tempoh 48 jam sahaja.