Kucing Ini Selamatkan Bayi Yang Terbuang Dalam Kesejukan

Dalam kedinginan musim sejuk di Rusia, seekor kucing gebu bernama Masha terdengar tangisan seorang bayi.

Suara itu membawanya ke sebuah kotak di dalam blok apartmen. Di dalamnya, ada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan ibu bapanya bersama beberapa baju bersih, makanan bayi dan lampin.

Masha memanjat masuk ke dalam kotak tersebut dan memeluknya bagi menghangatkan bayi yang kesejukan itu sambil mengiau dengan kuat.

Bunyi ngiauan itu menarik perhatian Irina Lavrova, salah seorang penduduk kediaman itu dan bergegas keluar kerana menyangka kucing itu cedera.

Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Masha sedang berbaring di sisi seorang bayi yang sudah reda tangisannya.

Irina segera menelefon ambulans.

‘Mahu dibawa ke mana anak itu?’ Masha dilaporkan berlari cuba mengejar ambulans dan kereta yang membawa pergi bayi berkenaan ke hospital. Naluri keibuan mungkin membuatkan kucing tersebut mahu melindungi anak kecil itu.

Sampai di hospital, pemeriksaan dilakukan ke atas bayi dan doktor mengesahkan dia sihat.

Manakala Masha pula diangkat sebagai hero oleh penduduk tempatan, dimanjakan dan dijamu dengan makanan kegemarannya.

sumber ;agensi