Sepasang suami dari Bogor, Jawa Barat mengakui bahawa mereka sedih kerana gagal menunaikan haji tahun ini, lapor Tribunnews.
Damar Rahayu, 51 tahun dan Nana, 49 tahun yang merupakan penduduk Kampung Bojong Sompok itu telah bertahun-tahun menunggu untuk dapat menunaikan ibadah haji.
Namun, disebabkan pandemik, Indonesia belum mengirim calon jemaah haji ke Tanah Suci, ditambah pula dengan berita ibadah haji yang dihadkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Dilaporkan, suami isteri ini telah mendaftar sebagai bakal jemaah haji sejak tahun 2013.
Damar mengatakan bahawa sudah 2 tahun pemberangkatan hajinya dibatalkan, kini dia terpaksa menunggu lagi tempohnya.
Kata Damar pada Sabtu lalu, “Saya bertanya kepada yayasan di mana saya mendaftar di Cibinong. Kalau bukan pada 2022, saya akan berangkat haji pada 2021, katanya. Namun, setelah berita mengatakan tiada yang berangkat ke sana, saya dan isteri berasa sedih.”
Menurut sumber, Damar berhasrat untuk pergi haji bersama isterinya setelah awal perkahwinan mereka pada tahun 1990-an lagi. Damar bertekad untuk mengumpulkan wang dari penjualan penyapu, dan wang itu disimpan dalam tin dan tabung buluh yang dibuatnya.
“Saya buta huruf, jadi saya menyimpan dalam tin dan buluh. Setelah mengumpulkannya, saya membeli kolam dan 7 ekor kambing,” katanya.
Damar dikatakan telah menjual penyapu lidi sejak dia masih muda ke setiap lorong ke lorong di Jakarta.
Mulai dari harganya Rp 800. (0.23 sen), pada tahun 2014 pula menjadi Rp. 2000 (0.58 sen), dan kini Rp 5000 (RM1.40). Setiap hari, penjualan penyapu lidinya mampu mencapai Rp 100 ribu (RM28).
“Paling tidak, ketika saya sampai di rumah, saya tinggal 70 ribu (RM20) lagi untuk makan dan itu cukup untuk memenuhi keperluan. Kadang-kadang saya menyimpan lebih banyak jika saya mempunyai lebih banyak,” katanya.
Damar dan isterinya berkata mereka berharap dapat menunaikan haji pada tahun hadapan. Tambahnya, dia tidak akan gunakan duit pendaftaran kerana sudah lama bertekad untuk ke Tanah Suci bersama isterinya.
Berdasarkan sumber, Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas berkata, kerajaan akan menumpukan pada persiapan untuk berangkat haji tahun hadapan.
Menurut satu kenyataan bertulis oleh beliau pada Sabtu lalu, “Kami sekarang akan fokus pada persiapan Haji 1443H. Kerajaan Indonesia akan berkomunikasi secara aktif dan lebih awal dengan kerajaan Arab Saudi mengenai persiapan untuk menunaikan haji tahun hadapan.”
Sumber melaporkan, pelaksanaan Haji pada tahun ini hanya terhad pada 60,000 orang jemaah haji dari dalam negeri itu sahaja, iaitu warga Arab Saudi dan ekspatriat (orang yang tinggal di sesuatu negara asing).
Sumber: Tribunnews.com