Ligat terkam… ramai seriau kalau-kalau si bulus cederakan budak lelaki 3 tahun, tapi kenapa si ibu langsung tak hirau!

KELETAH lincah seekor kucing dengan seorang kanak-kanak lelaki yang ligat bergurau benar-benar membuatkan netizen cair.

Jika dilihat daripada beberapa rakaman video, si bulus gemar menerkam dan menggigit ‘manja’ sambil dibalas pula dengan usikan mesra oleh kanak-kanak berkenaan.

Mungkin ramai yang ‘seriau’ sekiranya kanak-kanak berkenaan tercedera namun menurut ibunya, Mariana Alias, situasi berkenaan sememangnya perkara normal yang berlaku setiap hari.

Menurut wanita berusia 24 tahun itu, anak lelaki, Muhammad Daniey Mikhaiel Mohd Hafizy, 3, sememangnya gemar bergurau dengan satu-satunya kucing peliharaan mereka yang diberi nama Sitong.

“Memang seekor itu saja kucing peliharaan kami. Inilah kali pertama saya pelihara kucing sebab jatuh hati tengok kecomelan si induk. Kawan saya pelawa untuk kami pelihara anak induknya, jadi kami pun ambil.

“Bila dah pelihara dari kecil, sebab itu Mikhaiel rapat dengan Sitong. Dah macam best friend forever (BFF) dah. Abang kepada Mikhaiel yang berusia tujuh tahun merupakan anak istimewa dan terlantar. Jadi Mikhaiel tak ada kawan bermain sangat.

“Bila kami pelihara Sitong sejak lima bulan lalu, Mikhaiel banyak menghabiskan masa dengan si bulus,” ujar ibu kepada dua orang anak ini lagi.
Menurut Mariana, Sitong merupakan kucing jantan daripada baka kampung yang sangat aktif dan langsung tidak cerewet.

“Sitong pun pandai buang air dekat tandas. Mula-mula saja kami ajar ia ke tandas. Ia berlaku apabila saya nampak ia gelisah dan mengiau. Saya fikir mungkin ia nak membuang lalu angkat bawa ke tandas. Memang betul, Sitong terus membuang.

“Selepas tu ia terus pergi tandas sendiri. Memang tak susah langsung nak ajar. Makanan pun tak cerewet. Hanya beri Whiskas. Sitong tak makan nasi, daging atau ayam.

“Limited sangat kucing ni. Kalau dia tak ada atau pergi bermain luar rumah lama sangat, mesti kami cari.

“Selama lima bulan, Sitong ni kiranya penyeri keluarga. Anak istimewa saya pun happy tengok Sitong main dengan adik dia,” ujarnya yang menjalankan bisnes online.

Mariana berkata dia sama sekali tidak menyangka video gelagat anaknya dengan Sitong sering meraih jumlah tontonan yang tinggi di TikTok, malah ada yang mencecah lima juta views.

Selama lima bulan, Sitong ni kiranya penyeri keluarga. Anak istimewa saya pun happy tengok Sitong main dengan adik dia

“Memang saya post santai-santai je. Tapi rupa-rupanya ramai yang suka tengok. Siap minta rekod banyak lagi video mereka berdua. Ada juga yang minta saya buka akaun TikTok khas untuk Mikhaiel dan Sitong.

“Ada ramai juga yang DM tanya tips tapi tak tahu nak share macam mana. Sebab memang ia semula jadi macam tu. Cuma dahulu masa ia kecil, kami memang beli susu ibu kucing dekat klinik haiwan sebab susu lain tak sesuai.

“Namun dalam ramai-ramai yang komen, ada juga yang nasihat sebab bimbang Mikhaiel cedera kena gigit atau cakar. Tapi memang tak pernah langsung ada calar pada badan anak saya.

“Saya tak risau langsung dia main dengan kucing. Kalau jumpa kucing dekat mana-mana, yang sakit atau hodoh pun, dia main juga. Mikhaiel memang suka kucing dan seorang pencinta haiwan,” ujarnya lagi.

sumber;mstar