Saya berasal dari
sebuah kawasan Felda di selatan tanah air. Semasa melalui zaman remaja sekitar
awal tahun 2000-an dulu, kehidupan saya seperti remaja lain. Suka buat nakal.
Bila nampak budak perempuan, mulalah mengurat sana sini.
Jika ada masa
terluang, saya dan kawan-kawan lebih suka melepak di tepi jalan sekitar Felda
kami. Apa yang kami buat? Kalau ada yang datang ‘bakar jalan’ (ajak merempit),
kami akan berlumba. Kami suka buat bising.
Tamat persekolahan,
saya bekerja di sebuah kilang di Johor. Saya tinggal menyewa bersama
kawan-kawan. Sejak itu, bermulalah episod baru dalam hidup saya.
Saya mula
terpengaruh. Hendak pula, ramai kawan-kawan kaki minum, ambil ganja, teguk ubat
batuk dan kaki segala jenis pil khayal. Akibatnya, saya pun mula minum ubat
batuk. Tidak cukup lagi, saya jadi penagih pula.
Bila pekena ubat
itu, saya jadi syok, khayal. Semuanya terasa indah. Mulanya hanya untuk mencuba
tapi lama-kelamaan saya jadi ketagih. Pernah kerana tiada duit untuk menagih,
saya dan rakan nekad meragut atau merompak beberapa orang pekerja Nepal yang
bekerja di kilang tersebut. Hasil duit itu, saya gunakan untuk membeli pil
khayal dan ubat batuk.
Sejak itu,
kehidupan saya semakin terpesong jauh. Bukan sekadar khayal, saya juga
terjerumus ke lembah maksiat. Masa itu, saya tak fikirkan tentang dosa. Bagi
saya yang penting enjoy. Halal haram kami tak peduli lagi.
Suatu hari, saya
minum ubat batuk dalam kuantiti yang banyak. Akibatnya saya terkulai, khayal
dan terbaring di dalam bilik. Sedang melayan khayal, saya rasa badan saya
terlalu berat sehingga tak mampu bergerak lagi. Kemudian, saya terdengar bunyi
ombak menghempas pantai.
Sedang asyik
mendengar bunyi ombak itu, tiba-tiba saya dikejutkan dengan suatu suara.
“Kehidupan engkau sampai di sini saja. Engkau mensia-siakan kehidupan yang
ada,” kata suara itu dengan lantang.
Mendengarnya, saya
jadi kecut perut. Saya begitu takut. Saya menjerit-jerit supaya diberikan
peluang untuk terus hidup.
“Ya Tuhan! Tolong
jangan ambil nyawa aku. Bagi aku peluang untuk hidup dan bertaubat,” kata saya
dengan suara menggeletar. Selepas berkata begitu, saya terus tersedar. Suara
tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinga.
Benarkah nyawa saya
sampai di sini saja? Soalan tersebut bermain-main dalam kepala saya. Malam itu,
tidur saya tidak lena kerana amat takut. Saya terus terfikir tentang mimpi
buruk semasa khayal tadi.
Malam itu juga,
sekiranya diberikan peluang saya bertekad untuk berubah. Saya tak mahu lagi
terus hanyut dalam keseronokan hidup. Tapi, itulah…. manusia macam saya ini
lemah iman. Saya mudah lupa.
Beberapa hari selepas
mendengar suara itu, saya kembali kepada tabiat lama. Saya fikir mungkin sebab
khayal ubat batuk, maka saya bermimpi soal kematian.
Suatu hari, ada seorang lelaki tua
datang menasihati saya dan kawan-kawan yang sedang melepak. Lelaki itu minta
kami berubah. Dia juga mengajak kami sembahyang berjemaah.
Bila mendengar
begitu, kami ketawa terbahak-bahak. Saya kata pada lelaki itu, kami masih muda.
Banyak lagi masa hendak sembahyang. Bila tua nanti baru kami buat. Sekarang
kami mahu enjoy puas-puas.
Peringatan lelaki
tua itu langsung tidak memberi kesan, jauh sekali hendak menyesal. Kami
hidupkan motor dan tinggalkan lelaki itu. Selepas bermotor sampai di satu
persimpangan, tiba-tiba motosikal saya terbabas dan melanggar motosikal kawan
saya di hadapan.
Waktu itu, ada
sebuah lori yang datang dari arah bertentangan. Tapi saya dan kawan-kawan
bernasib baik kerana lori tersebut sempat membrek. Kalau tidak, mati kataklah
saya di situ. Pun begitu, kejadian tersebut masih tidak menginsafkan saya. Saya
masih lalai.
Hinggalah suatu
hari, saya berbual-bual dengan seorang guru agama. Dalam perbualan itu, guru
itu banyak nasihatkan saya. Tengah rancak berbual, guru itu bertanya tarikh
lahir saya.
“Tahu tak bila
tarikh kamu lahir?” soalnya.
Saya yang mendengar
hanya tersenyum. Tentulah saya tahu. Dalam hati saya berkata, soalan bodoh
macam itu pun hendak ditanya. Saya pun menjawab pertanyaan guru agama tersebut.
Kemudian, guru itu
bertanya lagi: “Tahu tak bila tarikh kamu akan mati?”
Bila disoal begitu,
saya terus terkedu. Apa jawapan yang harus saya berikan? Benar saya tahu tarikh
lahir saya, tapi tarikh kematian saya? Bila?
Saya sendiri tidak
tahu. Mungkin hari ini, esok, lusa atau tulat. Sejak itu, saya sentiasa
teringat kata-kata guru agama tersebut. Kalaulah saya mati esok, berapa banyak
dosa saya tanggung?
Sejak itu juga saya
mula tersedar. Saya berusaha untuk berubah. Alhamdulillah, mungkin disebabkan
Allah masih sayangkan saya, saya dapat buang jauh-jauh perangai buruk yang suka
merempit, meragut, minum ubat batuk, pil khayal dan macam-macam lagi.
Sejak itu juga saya
banyak belajar agama di masjid berdekatan rumah. Sehinggalah suatu malam, saya
bersama seorang sahabat bermalam di masjid tersebut. Selesai solat Isyak, saya
berbaring di saf paling belakang hinggalah saya terlelap.
Dalam lena itu saya
bermimpi. Saya terdengar suara orang riuh-rendah yang datang ke masjid ini.
Saya lihat begitu ramai orang yang datang ke masjid. Tapi saya berasa pelik.
Ramai jemaah yang datang hanya rancak berbual-bual di dalam dan luar masjid.
Semuanya bercerita tentang hal duniawi. Saya lihat hanya beberapa orang jemaah
sahaja yang mengisi masa terluang dengan bersembahyang dan mengaji.
Di satu sudut lain
pula, saya lihat ada lelaki dan perempuan bergaul bebas sambil bergurau senda
tanpa memikirkan batas agama. Tidak lama selepas itu, saya lihat kepulan asap
keluar dari tanah berhampiran masjid. Asapnya berkepul-kepul dan
bergulung-gulung hingga keluar api merah seperti lahar gunung berapi.
Seketika kemudian
saya terdengar bunyi dentuman guruh diikuti angin kencang. Entah dari mana,
tiba-tiba muncul ombak laut yang mengganas sedang bergerak menuju ke masjid.
Semakin lama, ombak tersebut semakin besar dan terus menghempas semua jemaah di
masjid.
Saya terus
menjerit-jerit hingga tersedar dari tidur. Ya Allah! Rupa-rupanya saya bermimpi
lagi…
Pengalaman mimpi
itulah yang membuatkan saya jadi lebih takut dengan Tuhan. Saya sedar selama
ini Allah masih sayangkan saya. Allah selamatkan saya dari maut dalam
kemalangan. Allah utuskan hamba-Nya yang soleh untuk menyedarkan saya hanya
dengan bertanyakan soalan tentang tarikh lahir dan hari kematian.
Saya teringat
kejadian yang menimpa tiga orang sahabat saya. Seorang meninggal dunia akibat
kemalangan ketika berlumba. Dua orang lagi maut ketika usia belum pun mencecah
20 tahun, juga akibat berlumba. Mereka meninggal pada usia muda dalam keadaan
sia-sia. Paling menyedihkan, ketiga-tiga sahabat saya ini minum arak sebelum
berlumba dan menemui ajal.
Kepada pembaca di
luar sana terutama golongan muda yang suka merempit, ambil dadah, kaki
perempuan, bertaubatlah sebelum Tuhan mengambil nyawa kita. Benarlah kata guru
agama tersebut, tarikh lahir kita semua tahu, tapi tarikh kematian kita?
Bertaubatlah selagi masih diberi peluang.
Sumber Razif
Apa Pendapat Anda?
Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Pihak MyTeam Network tidak
bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini.
Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang
disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.