Mengikuti arus zaman dengan semakin ramai orang berfikiran terbuka dan logik, terdapat kalangan ibu bapa berbangsa Melayu atau India di Malaysia yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina, dan begitu sebaliknya dengan harapan anak-anak mereka dapat menguasai lebih daripada satu bahasa dalam pertuturan seharian.
Tidak kira dari negara mana pun. Apabila seseorang daripada kalangan bangsa lain itu berminat untuk mempelajari bahasa ibunda bangsa lain, maka akan timbul perasaan bangga dalam diri mereka yang fasih dalam bahasa ibunda sendiri. Apatah lagi sekiranya kita berada di Malaysia, Bahasa Melayu dan Inggeris itu adalah wajib dipelajari, dan amat bertuah sekiranya seseorang itu dapat mempelajari bahasa ibunda bangsa lain seperti Cina dan India.
Seperti anak murid kepada mahaguru kaligrafi Cina berusia 83 tahun ini yang ingin mempelajari bahasa dan perkataan Cina dalam seni kaligrafi Cina yang biasa dilakar di tanglung dan beliau berbangsa Melayu.
Azizah Mokhsan, berusia 38 tahun sama sekali tidak memahami Bahasa Mandarin atau apa-apa pun perkataan Cina pada mulanya. Secara kebetulan dua tahun lalu, beliau bertemu dengan mahaguru kaligrafi Cina dan pelukis tanglung, Cheng Ho Chung berusia 83 tahun, dan wanita ini menjadi tertarik dengan seni kaligrafi Cina.
Setahun kemudian, Azizah secara rasmi berjumpa dengan mahaguru Cheng dan memintanya mengajar seni kaligrafi Cina, dengan memulakannya melalui cara memegang berus dengan betul dan membuat lakaran kaligrafi di kertas biasa, dan memerhatikan Cheng menulis perkataan.
Azizah bekerja di sebuah kedai penyaman udara di Jalan Raya, Kulai Besar sejak dua tahun yang lalu, dan kedai ini terletak di sebelah kedai basikal yang diuruskan oleh anak lelaki Cheng. Hampir setiap hari, Cheng akan menulis kaligrafi di hadapan kedai itu atau melakar perkataan di tanglung merah.
Cheng berkata ketika Azizah mula bekerja di kedai penyaman udara, mereka agak pendiam dan tidak banyak bersapa. Namun, tidak lama kemudian ketika semua orang mula menjadi mesra dengannya, Cheng mendapati Azizah merupakan seorang pekerja yang gigih dan baik hati. Azizah sering mendekatinya dan memerhatikannya menulis kaligrafi dengan penuh minat.
Jadi dengan santai sahaja Cheng bertanya kepada Azizah sama ada beliau ingin belajar kaligrafi Cina daripadanya. Setelah Azizah menyatakan kesediaannya untuk belajar, Cheng yang sudah lama tidak mengajar kaligrafi selama bertahun-tahun, telah memutuskan untuk menerima perantis lain, dan Azizah adalah anak murid wanita Melayu pertama.
Melihat mahaguru Cheng Ho Chung menulis kaligrafi di tanglung, Azizah menjadi amat tertarik dengan perkataan Cina yang membawa maksud kemakmuran, kesihatan dan kekayaan.
Dalam temu bual bersama media, Azizah berkata apabila dapat mempelajari kaligrafi dengan mahaguru Cheng adalah sangat bertuah. Azizah mendapat tahu bahawa mahaguru Cheng adalah seorang guru kaligrafi terkenal setelah secara rasmi belajar seni kaligrafi itu daripadanya. Ramai pelajar yang telah berguru dengannya termasuk tiga orang anaknya, juga masih ramai yang mencarinya untuk mempelajari teknik menulis kaligrafi yang betul.
Cheng amat cintakan seni kaligrafi. Bersempena perayaan Tahun Baru Cina pada setiap tahun, Cheng akan menulis perkataan kaligrafi itu di tanglung dan menerima tempahan pelanggan, dan kadang-kadang beliau akan mengajar cucunya menulis kaligrafi.
Azizah amat tertarik mempelajari kaligrafi Cina dengan menggunakan mata dan telinganya ekoran tidak pandai berbahasa Mandarin. Azizah akan memanfaatkan masa terluang ketika ketiadaan pelanggan di kedai penyaman udara dan berjalan keluar di sebelah untuk belajar menulis kaligrafi daripada gurunya.
Azizah mengakui ramai orang ingin tahu terutama pelanggan Cheng yang agak terkejut apabila mendapati beliau mempelajari kaligrafi Cina, tetapi mengatakan beliau hanya seorang pelajar yang baru belajar memegang berus dengan betul dan dapat meniru cara gurunya mengalun perkataan pada setiap kali diajar.
Katanya dengan dorongan mahaguru Cheng, beliau kini lebih memahami perkataan Cina, juga berminat untuk mempelajari bahasa Mandarin dan telah mendaftarkan diri untuk kursus bahasa itu di Skudai bagi memperluaskan pemahamannya dalam seni berkenaan.
Menurut Azizah, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa pada masa ini, beliau mempelajari Bahasa Mandarin secara dalam talian dengan seorang guru Bahasa Melayu yang turut mengajar Bahasa Mandarin secara percuma.
Sambil ketawa, Azizah berkata masih banyak perkara yang beliau perlu pelajari. Azizah hanya boleh memahami dan menguasai beberapa patah perkataan dalam Bahasa Mandarin yang mudah dan tidak sepenuhnya, apatah lagi dengan perkataan yang rumit. Atas alasan itu, maka ia menjadi sebab mengapa Azizah perlu lebih banyak belajar.
Azizah percaya bahawa perkara yang paling penting dalam apa juga pembelajaran adalah minat kerana ia akan memberi hasil dan kemajuan. Selain faktor pendorong lain iaitu adik perempuan dan abang iparnya di Melaka boleh bertutur dan memahami Bahasa Mandarin.
Menurut Azizah, tidak kira sama ada mempelajari Bahasa Mandarin atau kaligrafi Cina, ia adalah satu pengalaman baru buatnya dan beliau berasa amat bertuah dapat mengenali pelbagai bahasa dan meluaskan pengetahuan.
Terus terang Azizah berkata seni kaligrafi Cina tidak mudah untuk dipelajari. Di samping itu, Azizah tidak memahami banyak perkataan Cina atau Bahasa Mandarin. Sering terdapat banyak kesalahan yang panjang dan pergerakan kaligrafi yang salah. Kadangkala ketika meniru cara mahaguru menulis pun beliau masih membuat kesalahan, yang sering menjadi masalah dalam pembelajarannya.
Namun kata Azizah, “Semua ini tidak menghalang keinginan saya untuk terus belajar. Nasib baik saya bertemu dengan mahaguru. Saya juga berterima kasih kepadanya kerana telah memilih saya sebagai pelajarnya untuk terus memberi bimbingan tanpa mengira bangsa. Saya berharap di bawah bimbingan mahaguru, saya dapat mempelajari seni ini dengan lebih baik.”
sumber;metro