Sambutan Hari Raya tidak lengkap tanpa hidangan tradisi ketupat. Enak dimakan bersama-sama rendang, ketupat palas adalah antara hidangan wajib yang paling digemari ramai.
Selain ketupat palas, ketupat nasi juga antara yang menjadi pilihan dan kedua-dua jenis ketupat itu dihasilkan secara tradisi menggunakan daun palas dan daun kelapa.
Bagaimanapun tidak dinafikan agak sukar untuk mendapatkan kedua-dua bahan berkenaan lebih-lebih lagi bekalan daun palas atau daun kelapa yang agak terhad di bandar.
Jangan risau, kerana ketupat juga boleh dihasilkan dengan menggunakan daun pandan kerana ia sangat mudah didapati dan kosnya juga murah.
Seorang pengguna Facebook, Mieza Hasmiza berkongsi resipi dan cara membuat ketupat pulut menggunakan daun pandan dalam platform Masak Apa Hari Ni (MAHN). Menurutnya, ketupat pandan itu adalah versi resipi yang dihasilkan oleh ibunya sendiri.
Apa yang menarik, cara yang dikongsikan sangat mudah kerana resipi itu boleh menggunakan periuk nasi sahaja.
Bahan-bahan:
Beras pulut
Santan
Garam secukup rasa
Daun pandan untuk membalut
(Nota: Sukatan beras pulut dan air santan adalah sama banyak)
Caranya:
1. Rendam beras pulut selama satu jam
2. Kemudian, masukkan santan dan beras ke dalam periuk nasi. Apabila beras sudah separuh masak atau sudah melekat dan anjal, tutup suis.
3. Cedok pulut ke dalam talam atau pinggan dan biarkan pulut sejuk supaya mudah untuk diisi dalam daun pandan nanti.
4. Balut pulut dengan daun pandan dan ikat dengan tali rafia. (Rujuk gambar di bawah)
resipi ketupat pandan
Langkah membalut ketupat menggunakan daun pandan. Kredit gambar: Facebook Mieza Hasmiza
Nota 1: Jangan isi pulut penuh sangat kerana ia akan mengembang apabila sudah dikukus.
Nota 2: Bagi mengelakkan daun pandan patah ketika membalut, ambil daun pandan sehari awal dan rendam dalam air supaya ia lembut dan mudah dibentuk.
Anda juga boleh mencuba satu lagi cara membalut ketupat daun pandan yang dikongsi oleh pemilik Facebook, FE E ZA di MAHN.
resipi ketupat pandan
Cara lain untuk membalut ketupat menggunakan daun pandan. Kredit gambar: Facebook FE E ZA
5. Langkah seterusnya, kukus selama 15 hingga 20 minit. Selepas 20 minit boleh cuba ambil sebiji dan rasa untuk memastikan ia benar-benar masak.
Ketupat pandan sedap untuk dinikmati dengan rendang, serunding, sambal jawa atau dimakan begitu sahaja. Rasanya lembut dan baunya juga harum semerbak. Selamat mencuba!
sumber; Facebook Mieza Hasmiza