Mangsa simbah minyak panas rayu bantuan jiran

MELAKA: Kejadian suri rumah dan bayi disimbah minyak panas di Semabok di sini, Jumaat lalu turut menggemparkan penduduk di kawasan tersebut termasuk jiran yang membantu menghubungi pihak polis.

Jiran mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian tersebut disedari selepas terdengar wanita berusia 22 tahun itu menjerit meminta tolong, ketika dia sedang mengangkat jemuran pakaian di ampaian kira-kira pukul 5.30 petang.

“Saya terkejut dia (mangsa) berlari ke arah saya minta tolong sambil dukung bayinya dalam keadaan mereka berlumuran minyak.

“Dia beritahu suaminya simbah mereka dengan minyak panas selepas dia menggoreng ayam di dapur dan merayu saya menelefon pihak polis untuk menangkap suspek,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, dia juga mendengar suspek lelaki berusia 24 tahun itu menjerit memanggil isterinya masuk semula ke dalam rumah, namun, mangsa terus merayu dalam keadaan ketakutan.

“Suaminya berdiri di pintu masuk rumah, panggil isterinya tetapi mangsa berkali-kali merayu saya panggil polis untuk menangkapnya.

“Dia terlalu takut dan beritahu mereka sengaja dicederakan dengan minyak panas,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, seorang lelaki sanggup menyimbah minyak panas kepada isteri berusia 22 tahun dan bayi perempuannya berusia empat bulan akibat cemburu.

Dalam kejadian itu, bayi malang tersebut melecur di bahagian belakang pinggang, punggung serta kedua-dua kakinya, manakala si ibu pula melecur paha kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, suspek telah ditahan dan direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

sumber:UTUSAN ONLINE