MERAK Jalanan cukup kagum tatkala membaca kisah hafizah al-Quran, Iman Mohd Asri, 24, yang terpilih sebagai Syahadah Ula al-Fateh.
Memiliki sanad tahfiz 30 juzuk al-Quran telah melayakkan Iman untuk menjadi pengajar tahfiz di mana-mana negara di seluruh dunia.
Difahamkan, ilmunya turut dikongsi dengan orang lain dan setakat ini telah melatih lima pelajar untuk mendapat gelaran sama.
Sesungguhnya, jalan yang dipilih Iman untuk menyebarkan ilmu amatlah dikagumi.
Perkara pertama terlintas dalam fikiran Merak Jalanan adalah bagaimana ibu bapanya mendidik Iman atau adakah ia berdasarkan keinginan remaja itu sendiri?
Beberapa tahun lalu, Merak Jalanan pernah mendengar ceramah seorang pendakwah terkenal dari Indonesia yang bercerita tentang kanak-kanak berusia sembilan tahun berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran.
Saat ditanya apa rahsianya, si bapa berkata, rumah mereka yang serba sederhana dan jauh daripada hiruk-pikuk bandar sentiasa digemakan dengan kalimah suci.
Tiada hiburan seperti televisyen yang ‘dihidangkan’ demi menghindar si anak termasuk dirinya tergelincir daripada landasan keimanan.
Kata lelaki itu lagi, cahaya matanya bukanlah seorang genius. Barangkali sudah terbiasa halwa telinga mendengar ayat al-Quran, ditambah kesungguhan dan doa, ALLAH mengizinkan si anak bergelar al-Hafiz.
Merak Jalanan termangu sejenak. Bukan apa, ledakan gajet dan segala macam benda di alam maya adalah cabaran terbesar ibu bapa sekarang untuk mencontohi Iman serta keluarga di Indonesia itu.
Merak Jalanan tak nampak cara lain. Didikan dengan cara betul, tak terlalu akur dan memanjakan anak adalah resipi terbaik.
Masih belum terlambat lagi untuk kita mewujudkan generasi yang mencintai ALLAH SWT. Ingatlah, anak yang mendapat pendidikan yang baik bakal mendoakan kita kelak.
sumber;sinar harian