Mat salih ‘buat hal’ kupas kelapa guna gigi… Sudahnya kena rawat di klinik, netizen cadang secara bergurau

 KUPAS buah kelapa dengan gigi?

Kedengaran seperti tidak masuk diakal, namun begitulah yang dilakukan seorang pemuda hingga akhirnya membawa padah.

Bukan rakyat tempatan, sebaliknya dia merupakan warga asing yang mahu menikmati air kelapa.

Menerusi satu perkongsian video di TikTok, lelaki yang lebih dikenali sebagai Alexey Brock itu dilihat cuba mengupas buah kelapa menggunakan giginya.

“Kita berada di Malaysia dan kita ada masalah. Saya cuba untuk mengupas buah kelapa menggunakan gigi saya,” katanya.

Keadaan Alexey akibat mengupas buah kelapa menggunakan gigi.

Namun gara-gara tindakannya itu, sebahagian kecil daripada sebatang gigi hadapannya patah.

Alexey kemudian berkunjung ke sebuah klinik gigi untuk melakukan rawatan sambil membawa buah kelapa yang digigitnya.

Bukan sekadar ditunjukkan kepada petugas di kaunter, malah mat salih itu turut membawa buah berkenaan sehingga ke dalam bilik rawatan di hadapan doktor dan jururawat.

Alexey membawa sebiji buah kelapa ke klinik gigi.

Masih memegang sebiji buah kelapa, Alexey yang selesai menjalani rawatan berterima kasih kepada doktor yang merawatnya.

“Terima kasih doktor untuk gigi baharu saya. Terima kasih semua,” katanya menerusi keterangan video yang memberi pesanan ‘jaga diri dan berhati-hati dengan gigi anda’.

Video berdurasi 27 saat itu turut merakamkan aksi seorang penjual air minuman kelapa melakukan demonstrasi mengupas buah berkenaan.

“Buka kelapa macam ni, bukan dengan gigi,” kata pemuda warga tempatan itu secara berseloroh sambil membelah kelapa menggunakan parang di hadapan Alexey.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan tindakan lelaki warga asing itu yang sanggup mencuba mengupas buah kelapa menggunakan giginya.

Seorang peniaga menunjukkan cara sebenar mengupas buah kelapa.

“Pertama kali saya melihat seseorang menggunakan giginya untuk mengupas buah kelapa.

“Kami tiada masalah, cuma anda yang bermasalah.

“Aiyo mat salih ni. Tiada sesiapa pun boleh mengupas kelapa guna gigi la,” komen netizen.

Pada masa sama, beberapa netizen secara bergurau mencadangkan agar mat salih itu cuba mengopek buah durian menggunakan gigi.

sumber;mstar online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *