Putrajaya: “Buat masa ini saya belum merancang untuk menyambung pelajaran selepas tamat Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat Darul Quran (DQ). Namun saya akan menjadi ‘Ustaz Online’ mengajar masyarakat dalam bidang qiraat dan bacaan,” kata pelajar orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan yang berjaya khatam hafazan 30 juzuk al-Quran, Tan Mike Foong, 25.
Dia berkata sudah memulakan sesi pengajaran secara dalam talian sejak tiga bulan lalu dan mempunyai ramai pelajar.
Menurutnya, kelas yang diadakan itu dikenakan sedikit caj dan sambutannya juga sangat menggalakkan.
Katanya, kerjaya itu bersesuaian dengan keadaan dirinya dan tidak perlu mempunyai banyak pergerakan serta dapat membantu masyarakat mendalami al-Quran.
“Selepas menamatkan pengajian kelak, saya akan menumpukan kepada kelas ini. Setakat ini ada juga pihak menyarankan saya menyambung pengajian. Namun perkara itu akan difikirkan kemudian.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa yang banyak memberi sokongan sehingga saya berjaya menamatkan pengajian tahfiz walaupun kami berlainan agama.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan Darul Quran dan rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang tiga tahun berada di pusat pengajian ini,” katanya.
Sementara itu, ibu Mike, Ang Bee Cheng, 50, melahirkan rasa bangga dengan kejayaan anaknya itu.
“Saya sangat gembira apabila mendapat tahu Mike sudah khatam hafazan 30 juzuk al-Quran dan akan menamatkan pengajian Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat Darul Quran (DQ) pada penghujung April ini.
“Saya berharap Mike akan menjadi seorang ‘ustaz’ atau ‘guru’ kerana boleh mengajar ramai orang. Pekerjaan sebagai pendidik sangat mulia serta dihormati ramai,” katanya.
Dia bagaimanapun memberitahu tidak menghalang cita-cita Mike untuk menyambung pelajaran namun merasa bimbang kekurangan yang ada pada Mike akan membataskan pergerakannya jika berada jauh dari keluarga.
“Saya dan suami merasa bangga dengan kejayaan Mike kerana ramai rakan termasuk yang tidak dikenali mengucapkan tahniah melalui aplikasi WhatApps dan laman Fecebook atas kejayaan Mike.
Tulis 30 juzuk al-Quran dengan tulisan Braille
Putrajaya: “Saya merasa sebak dan kagum. Walaupun dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan namun dia berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.
Idris berkata, lebih menguja apabila kejayaan itu dicapai oleh seorang mualaf pintar, Tan Mike Foong, 25.
“Saya difahamkan ibu bapanya yang masih menganut agama asal tidak menghalang hasrat Mike untuk memeluk Islam dan menghafal al-Quran walaupun berbeza akidah.
“Beliau bukan setakat menghafal malah sudah menulis 30 juzuk al-Quran dengan tulisan Braille sebagaimana ditetapkan dalam proforma Program Diploma Darul Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Kuala Kubu Bharu (KKB),” katanya.
Idris berkata, dia dimaklumkan bahawa ibu Mike, Ang Bee Cheng, 50, sentiasa berulang alik menghantar anak istimewanya ke DQ.
“Malah ketika cuti semester, dia akan menghantar anaknya ke masjid untuk solat Jumaat,” katanya.
Menurutnya, hidayah milik Allah SWT dan terima kasih kepada pendidik DQ yang istiqamah mendidik dan melahirkan ahlul Quran yang bakal menjadi ulama satu hari nanti.
“Sekiranya ada rezeki saya ingin bertemu dengan anak soleh pintar ini,” katanya.
Berita kejayaan ini dikongsi di laman Facebook Jakim yang berkongsi pautan Facebook DQ memaklumkan Mike berjaya khatam hafazan 30 juzuk al-Quran Isnin lalu.
Mike kini berada di semester akhir Program Diploma Tahfiz al-Quran danal-Qiraat DQ, Jakim, Kuala Kubu Bharu.
Sebelum ini media pernah melaporkan, Mike yang mengikuti Program Sijil Asas Tahfiz di institusi berkenaan berjaya menghafaz 10 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun.
Kejayaan beliau ini akan diraikan bersama-sama rakan-rakan dalam Majlis Khatam Hafazan Al-Quran yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mac hadapan.
Anak sulung dari tiga beradik ini dilahirkan buta akibat masalah saraf dan memeluk Islam sejak 2015 selain mendapat sokongan kuat ibunya, Ang Bee Cheng yang setia membantu malah sanggup berulang alik dari kediaman di Kuala Kubu Bharu ke DQ dengan membawa makanan, keperluan dan mengambil semula pakaian kotornya untuk dicuci di rumah.
sumber ;metro